- Lain-lain
Keberhasilan CIFIT Ke-22 Memuaskan
Pameran Antarabangsa China untuk Pelaburan dan Perdagangan (CIFIT) ke-22 diadakan dengan jayanya, menyaksikan keberhasilan memuaskan dalam kerjasama ekonomi dan perdagangan yang berorientasikan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).
Jurucakap Kementerian Luar Mao Ning berkata, pameran itu turut memaparkan komitmen China untuk terus memperluas keterbukaan serta kerjasama dengan negara lain.
Berlangsung secara hibrid pada 8 hingga 11 September, CIFIT kali ini menyaksikan pemeteraian perjanjian kerjasama membabitkan lebih 480 projek yang bernilai RMB342 bilion (RM222.49 bilion).
Kolaborasi antarabangsa di bawah kerangka BRI antara pengisian utama pameran berkenaan, dengan lebih 60 aktiviti diatur.
Menurut data terkini Jabatan Pentadbiran Am Kastam (GACC), jumlah import dan eksport China terhadap negara-negara BRI bagi Januari hingga Ogos mencecah RMB8.77 trilion (RM5.71 trilion), naik 20.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Mao berkata, pembinaan bersama BRI secara berkualiti tinggi bukan sekadar menaik taraf prasarana dan kesalinghubungan negara-negara terbabit, malah menjadi platform baharu untuk merancakkan perdagangan dan pelaburan sejagat.
"China akan terus memperluas keterbukaan pintu, di samping menggalakkan kerjasama perdagangan antarabangsa demi pembangunan dan kemakmuran global,”katanya semasa sesi taklimat pada Rabu.