- Lain-lain
Ekonomi China Terus Berkembang Baik
Ekonomi China terus pulih dan mempamerkan prestasi yang semakin baik pada tiga suku pertama tahun ini, menurut Biro Statistik Negara (NBS).
Data NBS menunjukkan, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China direkodkan sebanyak RMB87.02 trilion (RM56.79 trilion) pada tiga suku pertama, meningkat 3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Antaranya, KDNK suku ketiga menokok sebanyak 3.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, dan 3.5 mata peratusan lebih tinggi daripada suku kedua.
Pada suku ketiga, nilai tambah industri berskala besar dan pembuatan berteknologi tinggi masing-masing meningkat 4.8 peratus dan 6.7 peratus.
Ia sekali gus menyaksikan pemulihan mantap rantaian perindustrian dan bekalan, serta pertumbuhan pesat pengeluaran produk tenaga alternatif seperti pengecas kereta elektrik (EV), Unit Kuasa Angin (WPU) dan sel fotovolta.
Penyelidik dari Pusat Penyelidikan Pembangunan Dewan Negara, Zhang Liqun berkata prestasi itu mencerminkan potensi pertumbuhan ekonomi China yang kukuh.
"Ia secara tidak langsung membuktikan keberkesanan dasar makroekonomi yang dilaksanakan kami (China), dan turut meningkatkan keyakinan kami," kata beliau.
Sementara itu, data terkini Jabatan Pentadbiran Am Kastam (GACC) menunjukkan, nilai keseluruhan import dan eksport China mencatat RMB31.11 trilion (RM20.30 trilion) pada tiga suku pertama, naik 9.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Antaranya, import dan eksport dengan ASEAN, Kesatuan Eropah (EU), Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan masing-masing menokok 15.2 peratus, 9 peratus, 8 peratus dan 7.1 peratus.
Untuk tempoh sama, jumlah import dan eksport China dengan negara-negara terlibat dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) mencapai RMB10.04 trilion (RM6.55 trilion), menyaksikan peningkatan sebanyak 20.7 peratus.