- Lain-lain
China Komited Terus Mudahkan Pelaburan Asing
China akan terus meningkatkan tahap keterbukaan dan memudahkan pelaburan dan perniagaan syarikat asing di China bagi mendorong perdagangan dan pelaburan berkembang ke arah yang lebih bebas dan mudah.
Demikian kata jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian dalam sidang akhbar pada Isnin susulan satu laporan yang dikeluarkan HSBC berdasarkan hasil tinjauannya yang bertajuk "Pandangan syarikat asing terhadap China 2022: Berkongsi peluang baharu yang dibawa Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP)".
Zhao berkata, laporan itu menunjukkan bahawa lebih daripada 80 peratus responden syarikat asing menjangkakan perniagaan mereka di China akan berkembang pada tahun hadapan, dan 75 peratus responden pula merancang untuk mengembangkan rantaian bekalan di China dalam tempoh 24 bulan akan datang.
Selain itu, 93 peratus responden dari negara anggota RCEP berkata hubungan perdagangan mereka dengan China akan diperkukuh, dengan lebih 40 peratus menjangkakan perniagaan mereka di China akan berkembang sekurang-kurangnya 30 peratus pada tahun depan.
Untuk rekod, kaji selidik itu dijalankan di 16 pasaran utama di seluruh dunia yang melibatkan hampir 3,400 syarikat di sembilan negara anggota RCEP dan tujuh entiti ekonomi utama.
Zhao Lijian berkata, China ikrar terus berinisiatif mengemaskinikan pelaksanaan strategi yang terbuka sehingga membentuk landskap yang lebih luas untuk membina rangkaian zon perdagangan bebas yang berkaliber dan bertaraf dunia.
Menurut Zhao, perdagangan antara China dan negara anggota RCEP mencecah RMB8.32 trilion (RM5.44 trilion) bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini yang menduduki satu pertiga keseluruhan perdagangan luar China.