- Lain-lain
China, Afrika Mahu Pererat Kolaborasi Media
Kerjasama antara media China dengan negara-negara Afrika mempunyai potensi besar untuk terus berkembang pada era baharu ini.
Pandangan itu disuarakan para peserta Seminar China-Afrika bertemakan “China and the World Embarking on a New Journey” anjuran Kumpulan Media China (CMG) di Nairobi, ibu negara Kenya pada Rabu.
Ketua Stesen Radio 5FM Zambia, Thomas Mkandawire beranggapan bahawa Afrika dan China kini perlu memperkasa kolaborasi media untuk menangani tanggapan stereotaip media Barat.
"Ia sekali gus mampu menghapuskan kebergantungan terhadap agensi media Barat dari segi berita, kandungan siaran radio dan sumber maklumat," kata beliau.
Tahun ini merupakan ulang tahun ke-50 terjalinnya ikatan diplomatik China-Madagascar.
Pengarah Television Malagasy (TVM), Nampoina Ranarivelo berkata, Madagascar merupakan sebuah negara yang berpotensi besar dan bercita-cita untuk mewujudkan pembangunan kendiri, khususnya ingin berinteraksi dengan media China.
"Hanya dengan melakukan interaksi, barulah kita dapat mengatasi halangan dari segi komunikasi, dan media menjadi wadah terbaik dalam menjalinkan hubungan seumpama,” katanya.
Beliau turut yakin, kerjasama media Madagascar-China serta Afrika-China pasti mempunyai prospek cerah pada masa hadapan.
Seminar itu antara aktiviti penting di bawah kerangka Forum Kerjasama Media ‘Our African Partners’ 2022 anjuran CMG.
Acara berkenaan disertai 60 wakil media, pakar dan sarjana dari 20 buah negara termasuk Kenya, Rwanda, Tanzania, Madagascar, Sudan Selatan, Zambia dan Sierra Leone.