- Lain-lain
Forum Hak Asasi Manusia Asia Tumpukan Isu Alam, Perubahan Iklim
Simposium antarabangsa ‘Forum Hak Asasi Manusia Asia-Alam Sekitar, Perubahan Iklim dan Hak Asasi Manusia’ selama dua hari melabuhkan tirainya di Beijing, pada Ahad.
Forum yang dianjurkan oleh Universiti Renmin China (RUC) itu merumuskan tentang pengalaman serta pencapaian negara-negara Asia dalam bidang perlindungan alam sekitar dan hak asasi manusia sepanjang sepuluh tahun lalu, selain turut membincangkan isu-isu berkaitan perubahan iklim global.
Presiden RUC, Prof. Lin Shangli ketika menyampaikan ucapan pada simposium itu berkata, China bukan sahaja akan memperkasakan kemajuan hak asasi manusia dan memperkukuh jaminan sistem rakyat sebagai tuan negara, malah turut berusaha menyumbang kebijaksanaan dan pelan China kepada usaha hak asasi manusia antarabangsa.
Beliau berkata, RUC akan mempergiat penyelidikan tentang pengembangan demokrasi dalam segenap proses dan jaminan rakyat sebagai tuan negara, berdedikasi kepada usaha mencerminkan suara hati rakyat, menjamin hak dan kepentingan rakyat serta mendorong kedinamikan inovasi rakyat.
Tambah Lin, RUC menyokong pengajian tentang teori hak asasi manusia dan komunikasi antarabangsa dalam bidang tersebut, bersedia meningkatkan kerjasama dengan pertubuhan antarabangsa termasuk Program Wanita Bangsa-Bangsa Bersatu (UN Women) dan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), serta institut pengajian tinggi (IPT) dan institusi pengajian dari Asia.
Wakil UNESCO ke Asia Timur Laut, Prof. Shahbaz Khan dalam ucapannya pula turut memperincikan langkah-langkah pertubuhan itu khususnya di rantau Asia Timur Laut, di samping menegaskan tanggungjawab PBB terhadap hak asasi manusia.
Beliau juga memberitahu bahawa usaha harus difokuskan untuk mengembangkan alam sekitar dan tenaga bersih berasaskan Matlamat Pembangunan Mampan dan Perlembagaan Pembangunan PBB.
Shahbaz turut menzahirkan penghargaan terhadap usaha dan pencapaian China dalam perlindungan sumber air, sistem ekologi, sumber geologi dan alam sekitar.
Difahamkan, forum kali ini berjaya menarik penyertaan pakar dari lebih 20 negara dan wilayah Asia secara dalam dan luar talian.