- Lain-lain
Rondaan Bersama China, Laos, Myanmar, Thailand di Sungai Mekong ke-124 Dilancarkan
Dua bot penguatkuasa undang-undang China dengan nombor siri 53101 dan 53107 meninggalkan pelabuhan Guanlei di Xishuangbanna, provinsi Yunnan, China pagi Selasa.
Ia sekali gus menandakan pelancaran rondaan bersama empat negara iaitu China, Laos,-Myanmar dan Thailand kali ke-124 di Sungai Mekong.
Menurut Rancangan Kerja Rondaan Bersama dan Penguatkuasaan Undang-undang Mekong empat negara 2022 dan konsensus tercapai oleh agensi penguatkuasaan undang-undang keempat-empat negara tersebut, latihan bersama "Watch-2022" akan diadakan sempena rondaan kali ini di kawasan perairan Laos sejauh 11 kilometer dari hulu "Segi Tiga Emas" Sungai Mekong.
Latihan itu memberi tumpuan kepada memerangi penyeludupan, dadah dan jenayah lain melalui saluran air dan darat, serta bertujuan untuk menguji dan menambah baik operasi bersama, tindak balas kecemasan dan keupayaan tempur yang diselaraskan pegawai penguatkuasa dari China, Laos, Myanmar dan Thailand.
Sebelum operasi bermula, agensi penguatkuasaan undang-undang dari keempat-empat negara terbabit turut bermesyuarat bersama dan bertukar-tukar maklumat operasi secara maya untuk bersama-sama menganalisis dan menilai situasi terkini dalam keadaan pandemik dan situasi jenayah rentas sempadan di Sungai Mekong, selain membincangkan langkah-langkah untuk memerangi jenayah rentas sempadan.