- Lain-lain
Ganding Bahu ke Arah Sifar Kelaparan
Jumlah populasi yang mengalami kekurangan makanan serius di seluruh dunia kini meningkat kepada 345 juta orang daripada 135 juta pada dua tahun lepas, dengan melibatkan 82 buah negara, menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO).
Konflik antara Rusia dan Ukraine yang tercetus pada tahun ini serta sekatan ekstrem negara Barat terhadap Rusia turut menjejaskan rantaian perindustrian dan bekalan bahan makanan global.
Jaminan bahan makanan yang mencukupi antara usaha yang sentiasa diutamakan oleh China, sebuah negara dengan populasi seramai 1.4 bilion orang.
Menerusi perjuangan generasi ke generasi, China berjaya mengisi perut hampir satu perlima daripada penduduk sejagat dengan menggunakan hanya kurang sembilan peratus tanah pertanian di dunia.
China juga muncul sebagai negara pengeluar bijirin terbesar dan pengeksport bijirin ketiga terbesar di dunia.
Teknologi padi kacukan yang diselidik China dan turut diperkenalkan luas antara faktor penting yang menyumbang kepada penjaminan bekalan makanan.
Di samping itu, China juga aktif berkongsi teknologi pertanian dengan negara-negara lain.
Kini, teknologi padi kacukan China telah diperkenalkan ke Asia, Afrika dan Amerika dengan keluasan penanaman sehingga 8 juta hektar.
Pada Julai 2022, China mengemukakan saranan untuk mempergiatkan kerjasama antarabangsa membabitkan keselamatan makanan.
China menyeru agar perkongsian kerjasama komoditi pukal antara negara Kumpulan 20 (G20) dijalin, dan pembatalan sekatan pengeksportan terhadap pemerolehan makanan bagi tujuan kemanusiaan oleh Program Makanan Sedunia (WFP).
Selain itu, negara pengeluar bahan makanan utama dunia diseru mengurangkan halangan perdagangan dan teknologi bagi meredakan ketegangan bekalan pasaran.
China turut mencadangkan supaya sokongan diberikan kepada kerjasama inovasi sains dan teknologi pertanian, di samping membantu negara membangun meningkatkan kemampuan pengeluaran bahan makanan.
Kesemua lontaran idea oleh China itu mendapat sambutan baik daripada semakin banyak negara di dunia.
Mutakhir ini, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres juga menyeru semua negara terus memperkasa sinergi dan berganding bahu bagi menyumbang kepada pencapaian matlamat sifar kelaparan menjelang 2030.