- Lain-lain
Penggunaan Rintis RMB Digital Dijalankan di Pelbagai Tempat di China
Sepanjang tempoh cuti Tahun Baharu Cina (TBC) yang baru berakhir, penggunaan Renminbi (RMB) digital meningkat dengan ketara termasuk dalam perkhidmatan pembayaran di restoran, pembelian bunga dan tiket wayang.
Shenzhen, iaitu antara bandar pertama yang menjalankan ujian penggunaan wang digital mengedarkan angpao bernilai 100 juta yuan pada tempoh TBC dan Chap Goh Mei yang dikategorikan dengan 28 yuan, 68 yuan, 168 yuan dan 666 yuan.
Serentak itu, di kawasan rintis penggunaan wang digital lain termasuk Tianjin, Wenzhou dan Jinan juga melancarkan pengedaran RMB digital dengan bentuk bon penggunaan.
Menurut statistik peringkat awal, jumlah wang digital yang ditawarkan dalam aktiviti di semua kawasan rintis melebihi 180 juta yuan, sekali gus banyak merangsang penggunaan dalam tempoh cuti TBC.
Penyelidik Institut Kewangan Universiti Fudan, Dong Ximiao menjelaskan bahawa e-CNY adalah matawang yang berbentuk digital dan juga alat pembayaran elektronik yang selamat.
"Seiring dengan kawasan rintis diperluas dan senario penggunaan terus bertambah, e-CNY makin menjadi pilihan penting dalam pembayaran harian di China," jelasnya.
Setakat ini, Bank Rakyat China sudah menjalankan ujian penggunaan wang digital di 17 buah provinsi dan hampir 30 kali aktiviti pengedaran angpao wang digital yang bertemakan "merangsang penggunaan" dan "perjalanan dengan karbon rendah" telah dilancarkan pada tahun 2022.
Menurut Bank Rakyat China, pihaknya akan menjalankan inovasi terhadap penggunaan e-CNY supaya sistem e-CNY disalinghubung dengan alat pembayaran elektronik konvensional agar para pengguna boleh mengimbas kod QR sama seperti alat pembayaran lain, sambil menjimatkan kos peniaga.