- Lain-lain
Myanmar Lanjut Darurat Enam Bulan Lagi
Myanmar mengumumkan lanjutan tempoh darurat selama enam bulan lagi di seluruh negara, lapor media tempatan pada Rabu.
Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Pertahanan dan Keselamatan yang diadakan di Naypyidaw pada Selasa.
Terdahulu, perintah darurat selama setahun diisytiharkan di negara itu pada 1 Februari 2021, dengan alasan wujud penipuan ketika pilihan raya umum (PRU) 2020.
Kemudian, pihak berkuasa turut melanjutkan darurat sebanyak dua kali, masing-masing selama enam bulan.
Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara, Min Aung Hlaing dalam mesyuarat itu berkata Myanmar masih berada dalam keadaan 'tidak normal' memandangkan serangan keganasan kerap berlaku, termasuk yang menyasar pasukan keselamatan.
Menurut Perlembagaan Myanmar, dalam keadaan biasa, Majlis Pertahanan dan Keselamatan Negara boleh mengisytiharkan darurat selama setahun dengan lanjutan dibenarkan dibuat sehingga dua kali yang masing-masing sepanjang enam bulan.