- Lain-lain
Teknologi Pesawat Pacu Misi Bantuan Kecemasan
Sebuah pesawat AG600M sedang menunjukkan fungsi menjatuhkan airnya pada Pameran Penerbangan dan Aeroangkasa Antarabangsa China atau “Airshow China ” edisi ke-14 di bandar Zhuhai, provinsi Guangdong China, pada 8 November 2022. (foto: Xinhua)
Pesawat buatan China terus melakar kemajuan untuk memenuhi misi bantuan kecemasan dan mengukuhkan keupayaan negara dalam aspek tersebut.
China telah membangunkan satu siri pesawat dengan keupayaan penyelamatan udara, termasuk pesawat amfibia, helikopter dan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV).
Menurut pembuat pesawat terkemuka, Syarikat Industri Penerbangan China (AVIC), pesawat amfibia besar AG600 yang merupakan kelengkapan penting dalam sistem bantuan kecemasan negara, baru-baru ini memulakan fasa ujian penerbangan,
Pesawat AG600M, pesawat pemadam kebakaran tergolong dalam siri AG600, telah tiba di pusat ujian penerbangan di daerah Yanliang, bandar Xi’an, provinsi Shaanxi.
Siri pesawat AG600 yang diberi nama Kunlong atau “Naga Air” dalam bahasa China, dinaik taraf untuk menjalankan misi kecemasan seperti kebakaran hutan, serta pencarian dan penyelamatan maritim.
Siri pesawat itu akan menjalani beberapa ujian penerbangan tahun ini. Pesawat pemadam kebakaran dan pesawat penyelamatan model AG600 dijangka memperoleh kelulusan pada tahun 2024 dan 2025 masing-masing, kata pembuat pesawat itu.
Selaku negara dengan landskap yang luas dan kompleks, China telah berusaha mengukuhkan keupayaan penyelamatan udara.
Rancangan Lima Tahun ke-14 (2021-25) telah mencadangkan penambahbaikan sistem pengurusan bantuan kecemasan kebangsaan khususnya dari segi kemampuan dan cara melakukan penyelamatan udara.
Siri UAV Wing Loong telah menunjukkan potensinya dalam bidang penyelamatan dan iklim, dengan menyokong pemulihan telekomunikasi bagi kawasan dilanda gempa bumi sekali gus menjalankan pembenihan udara bagi kawasan dilanda kemarau.
Siri pesawat Z15, juga dipanggil sebagai AC352, telah mendapat kelulusan dari Jabatan Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC) pada Julai lalu. Model ini boleh disesuaikan penggunaannya untuk pelbagai persekitaran dan dapat menjalankan pelbagai misi seperti menghantar bekalan penting, mengangkut orang yang cedera dan sebagainya.
Lebih banyak konfigurasi dijangka direka bentuk untuk tugas termasuk pemadaman kebakaran dan perkhidmatan perubatan kecemasan, menurut AVIC.