- Lain-lain
'Canton Fair' Kembali Temu Pengunjung Secara Fizikal
Pameran Ekspo Import dan Eksport China atau 'Canton Fair' edisi yang ke-133 akan kembali diadakan sepenuhnya secara fizikal apabila ia membuka tirai pada 15 April depan.
Menurut penganjur dalam sesi promosi pada Selasa, tiga sesi pameran akan diadakan dalam dan luar talian secara serentak pada hari tersebut.
Buat julung-julung kalinya juga, ruang pameran fasa keempat akan digunakan dalam ekspo kali ini, selain turut menyaksikan penambahan tiga ruang pameran baharu dan tiga ruang pameran khas baharu.
‘Canton Fair’ yang bakal menemui pengunjung dengan tarikan serba baharu dijangka akan berkongsi peluang pembangunan baharu dengan seluruh dunia.
Naib Ketua Pengarah merangkap Ketua Setiausaha 'Canton Fair', Chu Shijia memberitahu bahawa keluasan ruang pameran ekspo kali ini ditingkatkan daripada 1.18 juta meter persegi kepada 1.5 juta meter persegi, sekali gus membaharui rekod skala pameran.
“Lebih 30,000 syarikat dijangka menyertai ekspo kali ini dengan lebih 5,000 daripadanya mempunyai prestasi unggul dan teknologi canggih peringkat kebangsaan,” ujar beliau.
Chu juga memberitahu bahawa struktur pameran edisi ini turut dinaiktaraf dengan tiga ruang pameran baharu yang merangkumi automasi perindustrian dan pembuatan pintar, kenderaan tenaga baharu dan pintar, serta produk bersalin, bayi dan kanak-kanak.
Sementara itu, tiga ruang khas baharu termasuk kehidupan pintar, warga emas, serta reagen pengesanan dan barang-barang pelindung turut dibina bagi ekspo kali ini.
“Selain mengekalkan 16 kategori komoditi yang utama, jumlah ruang pameran bagi ekspo tersebut turut ditambah kepada 54 dan jumlah ruang pameran khas kini mencatat sebanyak 159 buah,” tambahnya lagi.
Difahamkan, ruang pameran import turut disediakan dalam kesemua tiga sesi eskpo dengan kesemua komoditi adalah terbuka kepada syarikat asing.
Setakat ini, syarikat unggul dari Jerman, Sepanyol dan Itali aktif berdaftar, manakala syarikat dari Malaysia, Turkiye, Korea Selatan dan India akan turut menghantar delegasi untuk menyertai ruang pameran import ekspo kali ini.