- Lain-lain
"Tiket Hijau" untuk ke Tandas
Pada April, di kawasan Ganzi, provinsi Sichuan, seorang pelancong menyiarkan satu video aduan bahawa sebuah tandas awam di Gunung Zheduo hanya boleh digunakan jika menukar botol air kosong sebagai tiket masuk. Kalau tidak ada botol kosong, tidak boleh menggunakan tandas itu. Pelancong mengadu tindakan ini tidak berperikemanusiaan. Tentang hal itu, Persatuan Perlindungan Alam Sekitar Sichuan menjawab bahawa tandas awam itu sebenarnya ialah Stesen Hijau 318 Sichuan-Tibet, pembinaan dalam sebuah projek perlindungan alam sekitar. Orang ramai dialu-alukan untuk mengemukakan cadangan untuk mereka menambah baik pelaksanaan program perlindungan tersebut.
Sebenarnya, "tandas syiling hijau" itu ditubuhkan untuk menggalakkan kesedaran pelancong tentang perlindungan alam. Ada tandas awam biasa didirikan berhampiran dengan "tandas syiling hijau".
Pada papan tanda tandas khas itu, tertulis bahawa ini ialah tandas perlindungan alam sekitar, bukannya tandas awam biasa. Jika pelancong tiada masa, mereka boleh memilih tandas awam yang terdekat.
Penetapan "tandas syiling hijau" mengambil kira purata bilangan pelancong yang datang ke sini, dan harapan lebih ramai orang boleh mengitar semula botol plastik. Persatuan Perlindungan Alam Sekitar Sichuan menjelaskan bahawa, tindakan ini bukan sahaja membantu melindungi persekitaran di tempat indah ini, tetapi juga membolehkan pelancong menjadikan perlindungan alam satu amalan dalam kehidupan harian, suatu tindakan yang menguntungkan semua pihak.
Pencemaran plastik merupakan salah satu punca utama pencemaran alam sekitar hari ini, dengan penyumbang besarnya ialah botol plastik. Badan botol plastik terutamanya diperbuat daripada plastic PET (polyester resin). Jika botol plastik tidak atau kurang dikitar semula, ada kemungkinan ia mendatangkan kerosakan yang serius kepada manusia, organisma lain, alam sekitar serta ekologi.
Di seluruh dunia, kira-kira 1 juta botol plastik dijual setiap minit, bukan sahaja botol untuk air minum, tetapi juga untuk bahan-bahan lain. Setiap tahun, hampir 500 bilion botol plastik akan jidual. Selepas guna, ke manakah perginya botol plastik yang dibuang?
Menurut data China, kebanyakan botol dibuang memasuki saluran kitar semula yang tidak rasmi, bertukar tangan ke bengkel keluarga di luar bandar. Statistik global menunjukkan bahawa 32% botol plastik yang dibuang akhirnya balik semula ke alam sekitar, mencemarkan tanah dan laut. Setara dengan satu lori sampah sisa plastik akan dibuang ke lautan setiap minit. Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) menyatakan bahawa dengan trend ini, menjelang 2050, bilangan sisa plastik di lautan akan melebihi bilangan ikan. Ini bukan sahaja membahayakan ikan, malah kesihatan manusia.
(foto: IC)
Komuniti antarabangsa telah lama meneroka cara untuk mengitar semula botol plastik. China juga mempunyai peraturan dan undang-undang pentadbiran sendiri. Artikel 46 Undang-undang Promosi Ekonomi Pekeliling yang dilaksanakan sejak Januari 2009 menetapkan "negara menggalakkan kitar semula sisa melalui pertukaran deposit." Pada Januari 2022, Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Negara China, Kementerian Perdagangan dan jabatan berkuasa bersama-sama mengeluarkan "Garis Panduan untuk Mempercepat Pembinaan Sistem Kitar Semula Bahan Buangan" dan menyatakan bahawa menjelang 2025, system rangkaian kitar semula bahan buangan akan diwujudkan dengan lebih 1,000 buah pusat pengasingan disediakan.
Amalan sedia ada telah membuktikan bahawa hampir 100% botol plastik kosong boleh dikitar semula melalui sistem deposit. Tiada sistem lain boleh mencapai kadar yang begitu tinggi. Beberapa bandar raya di China seperti Beijing telah menyediakan mesin kitar semula automatik di jalan-jalan. Jika penduduk meletakkan botol ke dalam salur masuk botol, mesin tersebut akan mengimbas kod bar botol dan melengkapkan proses pengasingan dalam 5 saat dan memaparkan jumlah rebat pada skrin sentuh. Selepas itu, jika penduduk memasukkan nombor telefon bimbit, duit itu akan didepositkan ke dalam akaun mereka. Penduduk juga boleh memilih untk mendermakan duit itu untuk menyokong usaha kebajikan.
(foto: IC)
"Tandas Syiling Hijau" yang dibina di Gunung Zheduo di Ganzi adalah cubaan baharu untuk mengitar semula botol plastik dengan menggunakan objek itu sebagai "tiket hijau" ke tandas. Persatuan Perlindungan Alam Sekitar Sichuan mencadangkan bahawa untuk mempercepat pelaksanaan kitar semula botol plastik, tandas hijau seumpama harus digalakkan, dengan syarat tandas awam biasa dalam keadaan memuaskan.