- Lain-lain
Industri Kuasa Nuklear Bantu China Realisasi Neutraliti Karbon
Pengerusi China National Nuclear Power (CNNP), Lu Tiezhong mengatakan bahawa China kekal sebagai salah satu pengeluar unit jana kuasa nuklear terbaik di dunia dari segi keselamatan operasi. CNNP pula pengendali paling banyak unit penjana selama tiga tahun berturut-turut menurut Indeks Komposit Persatuan Pengendali Nuklear Dunia (WANO).
Pada masa ini, Tanah Besar China terdepan dalam urutan Indeks Komposit WANO dengan 77 unit jana kuasa nuklear sudah beroperasi atau dalam pembinaan. Pada 2022, loji kuasa nuklear menjana sejumlah 417.786 bilion kWj atau 4.98% daripada keseluruhan tenaga elektrik yang dijana di China. Kapasiti terpasang fasiliti jana kuasa nuklear dijangka akan mencapai 200 juta kW, membentuk 10% hingga 15% daripada keseluruhannya di China.
Kuasa nuklear yang dianggap selamat, cekap, stabil dan boleh digunakan secara besar-besaran, adalah pilihan penting bagi China yang sedang menjalani transformasi ke arah penggunaan kuasa bersih dan rendah karbon. Kata Lu, “Satu loji kuasa nuklear berkapasiti 1,000 megawatt hanya memerlukan 30 tan bahan mentah setahun, berbanding loji arang batu dengan kapasiti sama memerlukan tiga juta tan bahan api.”
“Ambil Hualong-1 (reaktor nuklear pertama yang sepenuhnya direka oleh China) sebagai contoh. Kapasiti terpasangnya adalah 1,160 megawatt dan jumlah penjanaan kuasa elektrik mencecah 10 bilion kWj, cukup untuk menampung keperluan sejuta orang setahun di negara sederhana maju. Ia mampu mengurangkan penggunaan arang sebanyak 3.12 juta tan dan pelepasan karbon dioksida sebanyak 8.16 juta tan, bersamaan dengan penanaman 70 juta pokok.”
“Sejak beroperasinya loji nuklear pertama di China, iaitu Loji Qinshan pada 1991, sehingga terhasilnya reaktor nuklear generasi ketiga Hualong-1, jumlah penjanaan kuasa nuklear sudah melebihi 3.3 bilion megawatt, bersamaan dengan mengurangkan pelepasan karbon dioksida lebih 2.4 bilion tan.”
Projek demo “Hualong-1”, unit generator No.5 dan No.6 Loji Fuqing, provinsi Fujian. (Foto/Xinhua)
Seiring dengan usaha kerajaan untuk mencapai matlamat puncak karbon dan neutraliti karbon, industri kuasa nuklear China juga siap menyambut peluang baru. Tertulis dalam laporan Kongres Kebangsaan ke-20 Parti Komunis China sasaran untuk mengembangkan kuasa nuklear dengan selamat dan teratur.
“Mengembangkan kuasa nuklear adalah pilihan mutlak untuk mewujudkan perkembangan sosioekonomi yang mampan, memenuhi keperluan rakyat terhadap kehidupan yang lebih baik serta mencapai matlamat puncak karbon dan neutraliti karbon.” Adalah menjadi hasrat Lu agar teknologi nuklear yang lebih selamat dan ekonomik terus dikembangkan, kapasiti terpasang dipertingkatkan lagi, pembinaan fasiliti nuklear disusun atur dengan lebih baik dari segi tempat, dan penggunaan tenaga nuklear menjadi lebih menyeluruh untuk mendorong perkembangan industri nuklear yang komprehensif. Katanya, memastikan bekalan uranium alami juga sangat penting.
Tegasnya, dengan penggunaan kuasa nuklear kini semakin menyeluruh, pada masa depan, realisasinya pelakuran nuklear terkawal mungkin akan menjadi penyelesaian muktamad bagi masalah-masalah berhubung isu tenaga.