- Lain-lain
Lin Dan, Lee Chong Wei Masuk Dewan Kemasyhuran BWF
Legenda badminton, Lin Dan (China) dan Lee Chong Wei (Malaysia) dipilih untuk disenaraikan dalam Dewan Kemasyhuran (Hall of Fame) Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Lee Chong Wei, Lin Dan pada separuh akhir perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Asia, 30 April 2016. (Xinhua/Xiao Yijiu)
BWF dalam pengumuman pada 2 Mei menyifatkan kedua-dua legenda itu sebagai pemain lelaki yang paling dominan dalam generasi mereka.
Tampil di arena antarabangsa sejak awal abad ini, Lee Chong Wei dan Lin Dan terus melakar kecemerlangan di dunia badminton dan masing-masing bersara pada tahun 2019 dan 2020.
Lee Chong Wei meraih 47 gelaran siri super dan jelajah dunia, dan berjaya mempertahankan kedudukan di tangga pertama selama 349 minggu.
Lin Dan pula dua kali mencatat nama sebagai johan perseorangan lelaki Olimpik dan lima kali juara perseorangan lelaki Kejohanan Perseorangan Lelaki BWF.
Lin Dan, Lee Chong Wei pada separuh akhir perseorangan lelaki badminton Sukan Olimpik Rio, 19 Ogos 2016. (Xinhua/ Lv Xiaowei)
Poul-Erik Hoyer Larsen, Presiden BWF turut memuji bahawa “Sepanjang dua dekad yang lalu, Lee Chong Wei dan Lin Dan telah mengetengahkan diri sebagai duta terulung sukan badminton. Dengan prestasi cemerlang yang ditonjolkan, mereka berjaya menarik seluruh generasi untuk terlibat dalam sukan ini. Memang patut kedua-duanya disenaraikan dalam Dewan Kemasyhuran.”
Majlis Dewan Kemasyhuran BWF akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 26 Mei.