- Lain-lain
Tak Perlu Menjadi Seperti China, Tapi Boleh Belajar Sesuatu
Tarikh 31 Mei tahun ini, memahat 49 tahun hubungan diplomatik antara Malaysia dan China. Sejak 1974 pelbagai hubungan dua hala telah dijalinkan kedua-dua negara. Kunjungan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China hujung Mac lalu ketika Presiden China, Xi Jinping baru sahaja diangkat semula sebagai ketua negara, memberi isyarat jelas bahawa hubungan kedua-dua negara bukan sahaja akrab, tetapi usaha berterusan dilakukan dalam memastikan ekonomi dapat terus ditingkatkan untuk manfaat rakyat.
China dan Malaysia mencatat ekonomi sangat kukuh walaupun berdepan ketidaktentuan akibat pandemik sebelum ini, dengan jumlah perdagangan pada tahun 2022 mencatat keuntungan sebanyak USD203.6 bilion, meningkat 15.6 peratus tahun ke tahun dan kali pertama dalam sejarah melepasi USD200 bilion.
China kini bukan seperti China yang dahulu. Dalam tempoh lebih 40 tahun sejak lewat 70-an dasar pembaharuan dan pintu terbuka dilaksana, pelbagai kemajuan pesat telah dicapai. Idea memodenkan China yang dicetus oleh mendiang Pengerusi Mao Zedong sejak Republik Rakyat China (PRC) ditubuhkan diteruskan oleh pemimpin seterusnya sehinggalah modenisasi ala China dilaksana sejak dua tahun lalu oleh Presiden Xi Jinping dengan sasaran 2035 China menjadi negara moden. Ini selepas usaha membasmi kemiskinan mutlak dicapai sepenuhnya pada akhir 2020.
Semuanya bermula pada 2008 apabila China menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Beijing. Sukan Olimpik menjadi pencetus kepada pelbagai pembangunan dan kemajuan yang dicapai China sehingga kini. Sebut apa sahaja dari apa sektor sekalipun, boleh dikatakan negara Tembok Besar ini sudah menguasainya. Pertanian, penternakan, pembuatan, perkilangan, penciptaan, inovasi, perubatan, sains dan teknologi dan sebagainya. Sebagai contoh jenama kenderaan di jalan raya, di lautan malahan di udara juga di angkasa. Mereka sudah mempunyai kapal terbang sendiri iaitu C919, dan terkini terbesar menyamai saiz jenama Airbus. Perkara yang tidak terfikir oleh akal iaitu kapal angkasa, juga mereka sudah memilikinya.
Malaysia harus menggunakan kesempatan hubungan yang erat ini dan perlu diperkuatkan dengan kerjasama berterusan seperti dalam RCEP bersama 14 negara lain. China sebagai salah satu kuasa ekonomi terbesar boleh mengetuai kerjasama ini selain dari negara terlibat yang mencatat ekonomi terbaik setakat ini iaitu Jepun, Korea Selatan malahan negara jiran Indonesia. Ia akan memberi manfaat besar kepada semua negara terlibat termasuk Malaysia apabila kitaran perdagangan dapat berjalan dengan lancar dan ekonomi negara terlibat dapat ditingkatkan.
Selain itu Malaysia perlu mengambil peluang dari Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) yang dilaksanakan oleh China melalui pelaburan infrastruktur dan fasiliti. Ketepikan pemikiran tipikal, beri ruang dan peluang untuk kemajuan ekonomi, yang penting rakyat mendapat manfaat. Inisiatif BRI memanjangkan lagi usaha capaian peningkatan ekonomi bagi negara terlibat termasuk Malaysia melalui kemajuan infrastruktur yang dilaksana. Inisiatif ini mewujudkan rantaian ekonomi yang lebih baik dan saling berkait bagi 151 negara yang menyertai.
Bidang pendidikan juga boleh dimanfaat sebaiknya. Kita kini mempunyai pilihan negara antara yang terbaik untuk menghantar pelajar ke luar negara. Dengan kelebihan teknologi dan kajian berterusan yang dimiliki oleh China, pelajar Malaysia juga boleh memanfaatkannya di samping kos menghantar pelajar ke luar negara juga dapat dijimatkan.
Ketika Forum Asia Boao akhir Mac lalu, 13 Universiti Pertanian di Hainan turut mengumumkan penawaran biasiswa kepada pelajar berkelayakan dari negara ASEAN untuk menyambung pelajaran di Hainan dalam bidang pertanian dan sekuriti makanan. Malaysia boleh mengambil peluang ini untuk menghantar pelajar berkelayakan untuk menyambung pelajaran bukan sahaja dalam pertanian semata-mata, tetapi juga teknologi terkini, inovasi dan kajian dalam pertanian.
Ketika rangka lawatan rasmi Datuk Seri Anwar ke Beijing, Malaysia dan China secara prinsipnya bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam empat bidang utama, yang mampu memberi lonjakan besar terhadap pengukuhan ekonomi negara pasca COVID-19 serta pembangunan insan.
Ia merangkumi bidang pendidikan, komoditi dan industri berasaskan pertanian, sains dan teknologi serta ketersambungan termasuk pelancongan dan peningkatan kadar kekerapan penerbangan di antara Malaysia dan China.
Kesimpulannya, Malaysia harus belajar sesuatu dari kejayaan dalam pembangunan yang pantas dan pesat oleh negara China. Kita tidak perlu menjadi seperti China, kerana kita ada cara kita sendiri. Tetapi kita boleh belajar sesuatu, terutamanya dalam membentuk pemikiran yang lebih moden dan matang dalam memastikan negara kita dapat mencapai kemajuan yang diingini mengikut acuan kita sendiri.
Kita telah kerugian hampir lima tahun disebabkan ketidaktentuan landskap politik negara selain pandemik yang membelenggu waktu itu, dan tentu kita tidak mahu kerugian lima tahun lagi disebabkan perkara ini. Masa untuk ketepikan perbezaan ideologi dan fahaman, utamakan kepentingan rakyat dan negara, kerana kita perlu mengejar kemajuan seperti negara membangun lain. Ambil sahaja China sebagai contoh. Semuanya dalam memastikan ekonomi kembali meningkat dan stabil, selain taraf hidup rakyat dapat diangkat dan terjamin.
(Oleh Ahmed Faisal Bin Jamal)
- Zhao Leji Lakukan Lawatan Muhibah ke Malaysia
- China, Malaysia Berusaha Tingkatkan Kerjasama Pelancongan dan Sosiobudaya
- Hubungan Malaysia-China di Tahap Terbaik
- China, Malaysia Perkukuh Kerjasama dan Persahabatan
- Menteri Luar Malaysia akan Lawat China
- Kerjasama Malaysia, China Percekap Logistik Rentas Sempadan
- Memperkasakan Program Pertukaran Belia
- Legasi Zheng He Membina Hubungan Diplomatik
- China, Malaysia Ikrar Lonjak Ikatan Bilateral ke Tahap Baharu
- Pelancaran Buku di Malaysia Peringati Ulang Tahun Penting BRI