- Lain-lain
Han Zheng Hadiri Majlis Perasmian Forum Keamanan Dunia ke-11
Timbalan Presiden China Han Zheng menyeru semua pihak untuk menjaga keamanan dan keselamatan dunia dalam ucapannya pada majlis perasmian Forum Keamanan Dunia ke-11 yang diadakan di Universiti Tsinghua di Beijing pada Ahad.
Acara itu turut diserikan dengan kehadiran lebih daripada 400 orang yang meliputi bekas pegawai kanan asing termasuk Presiden Bank Pembangunan Baharu yang juga bekas Presiden Brazil, Dilma Rousseff, bekas Setiausaha Majlis Keselamatan Persekutuan Rusia, Igor Ivanov, bekas Menteri Luar Indonesia, Hassan Wirajuda, dan diplomat asing yang bertugas di China, pakar dan sarjana.
Han berkata, di tengah-tengah pergolakan situasi antarabangsa yang drastik, China telah mengemukakan beberapa inisiatif yang kondusif seperti Inisiatif Pembangunan Global, Inisiatif Keselamatan Global, dan Inisiatif Tamadun Global.
"China selama ini bertindak pantas dalam menambah elemen baharu kepada konsep dan praktik 'komuniti berkongsi nasib sesama insan' dan menyuntik tenaga positif yang kuat bagi mewujudkan keamanan dan pembangunan dunia."
"China bersedia bekerjasama dengan negara-negara lain untuk memelihara keamanan dan keselamatan dunia, mewujudkan pembangunan dan kemakmuran global, menyokong pertukaran dan mencari ilham daripada tamadun masing-masing, dan berkongsi hasil yang dilakar manusia dalam pembangunan, keselamatan, dan tamadun," kata Han.
Beliau turut mengemukakan cadangan agar pelbagai pihak berpegang kepada prinsip mandiri dan sikap saling menghormati; menyelesaikan konflik melalui dialog dan perundingan; tegas menegakkan amalan multilateralisme; menggalakkan kewujudan situasi inklusif, saling untung, dan sama menang.