- Lain-lain
Perdagangan China-Afrika Suntik Momentum Industri Kopi
Di Changsha, ibu provinsi Hunan, Jing Jianhua, pengasas “Coffee Z”, sedang membancuh kopi Ethiopia di kedainya. Aroma kopi harum semerbak mengisi setiap sudut kedai.
“Kami telah melancarkan berpuluh-puluh produk dengan biji kopi dari lebih 20 negara Afrika. Kini kami telah membuka 50 kedai dan mengutip 100 juta yuan dalam pusingan pembiayaan Siri A,” kata Jing Jianhua yang telah berkecimpung dalam industri ini selama 24 tahun.
Jing Jianhua mempromosikan kopi secara strim langsung di Jalan Kopi Afrika, Changsha, Hunan. (Xinhua/Chen Sihan)
Afrika adalah tempat lahir kopi dan juga pengeluar penting kopi. Disebabkan persekitaran dan ketinggian yang sesuai, kopi keluaran Afrika yang bermutu tinggi agak laris di pasaran sekian lamanya. Namun kerana edaran yang kurang lancar, harga pembeliannya kekal tinggi selama ini dan membuat pengamal kopi di China teragak-agak.
Masalah ini dapat diselesaikan berkat penubuhan wadah Ekspo Ekonomi dan Perdagangan China-Afrika (CAETE) dan juga Zon Perdagangan Bebas Rintis China (Hunan). Dengan adanya CAETE, pengamal industri kopi di China dapat terus menjalinkan kerjasama dengan pengeluar kopi Afrika. Dengan adanya zon perdagangan pula, lahir juga Pusat Pengagihan, Perdagangan dan Pemprosesan Produk “Non-resource” Afrika dan Pusat Perdagangan Kopi Afrika.
“Dengan pelbagai jenis kopi Afrika tampil di CAETE yang menawarkan lebih banyak pilihan, kos pembelian biji kopi juga berkurang sebanyak 30%,” demikian maklum Jing.
Di Pusat Perdagangan Kopi Afrika yang terletak di Pasar Besar Gaoqiao pula, kini terdapat 20 lebih syarikat minuman dan lahirlah “Jalan Kopi Afrika”. “Jumlah biji kopi Afrika dijual di Pusat Perdagangan Kopi Afrika mencatat 1,500 tan tahun lepas, dianggarkan melebihi 2,000 tan tahun ini berkat CAETE,” maklum petugas setempat.
Jalan Kopi Afrika yang terletak di Changsha, Hunan. (Xinhua/Chen Sihan)
Selain daripada biji kopi, biji bijan, kacang gajus dan cili kering juga dapat diimport terus dari Afrika ke China. Turut dilihat juga wain dari Afrika Selatan, biji-bijan dari Ethiopia, kraf tangan tanduk dari Uganda dan serbuk buah baobab dari Namibia pada CAETE edisi ke-3.
Statistik Kementerian Perdagangan menunjukkan bahawa, jumlah nilai perdagangan China-Afrika melebihi 2 trilion dolar AS. China kekal sebagai rakan dagang terbesar Afrika.