- Lain-lain
Inisiatif Baharu Elak Pembaziran Ketika Pesan Makanan Talam Talian
Memesan makanan secara dalam talian telah menjadi satu tabiat penggunaan bagi ramai orang. Statistik menunjukkan bahawa sehingga Disember 2022, bilangan pengguna perkhidmatan penghantaran makanan dalam talian di China telah mencecah 521 juta. Dengan skala pesanan dalam talian terus-menerus berkembang, fenomena pembaziran makanan juga telah menarik perhatian.
Mencegah pembaziran sewaktu membuat tempahan amat penting bagi membendung pembaziran bahan makanan. Bahkan ia syarat yang tidak boleh diketepikan sekiranya hendak mewujudkan pembangunan berkualiti platform katering dalam talian. Undang-undang Anti Sisa Makanan China dengan jelas menetapkan bahawa "Platform penghantaran makanan harus mengingatkan pengguna supaya memesan dalam jumlah yang sesuai."
Baru-baru ini, Jabatan Pentadbiran Am Kawal Selia Pasaran Negara (SAMR) dan Kementerian Perdagangan bersama-sama mengeluarkan sebuah dokumen garis panduan mengenai peranan utama platform katering dalam talian untuk mencegah pembaziran dalam pemesanan makanan. Sebanyak 10 langkah dirumuskan, merangkumi aspek struktur bekalan makanan, peringatan penggunaan, serta peraturan dan aku janji platform.
Berbeza daripada penggunaan luar talian, pelanggan yang memesan makanan dalam talian biasanya tidak dapat menilai hidangan secara intuitif dari segi resipi dan kuantiti. Pengguna juga mungkin kurang tahu tentang ramuan, rasa atau teknik memasak yang digunakan. Sekiranya terlalu sedikit maklumat disediakan, sukar bagi pengguna untuk menganggarkan jumlah makanan. Maka, mereka akan cenderung untuk memesan lebih banyak.
Pada masa yang sama, terdapat banyak peniaga di platform katering dalam talian, dan ini menyebabkan persaingan pasaran yang agak sengit. Kuantiti yang banyak dan harga yang rendah adalah kaedah promosi yang biasa digunakan. Peniaga sering berasa bimbang jika saiz hidangan yang dipromosikan agak kecil.
Dalam hal ini, panduan itu mencadangkan untuk mengoptimumkan peraturan dan aku janji platform, sekali gus membentuk dan menambah baik mekanisme insentif untuk pengusaha.
Dari sudut satu pihak, platform terbabit harus secara saintifik menetapkan harga penghantaran minimum dan peraturan promosi diskaun penuh, mengoptimumkan lagi paparan pemesanan makanan atas talian, di samping membimbing peniaga untuk menyenaraikan ramuan utama dan rasa makanan dengan benar dan tepat. Mereka juga dikehendaki menyediakan lebih banyak maklumat seperti spesifikasi bahan yang digunakan dan bilangan pengguna yang disyorkan.
Sementara itu, peniaga yang aktif mempromosikan hidangan bersaiz kecil boleh ditonjolkan melalui paparan di laman utama. Bimbingan positif kepada peniaga perlu diperkukuh dan cara pengurusan yang baik perlu digalakkan bagi menyokong pengamalan konsep ekonomi yang berhemat dan menentang pembaziran.
Kini, ramai pengguna semakin berusaha untuk makan secara sederhana dan sihat. Ramai peniaga juga cuba memahami trend baharu ini. Sebagai contoh, beberapa syarikat katering telah melancarkan pakej makanan khas untuk seorang, dan pengguna boleh menyesuaikan kandungan pakej mengikut selera sendiri. Ada yang menawarkan saiz hidangan 'sedikit' atau 'separuh', malah ladu goreng, ban itik panggang, kuih Osmanthus dan sebagainya boleh dijual mengikut keping. Kebolehsuaian bekalan yang dipertingkatkan menghasilkan permintaan pesanan makanan dalam talian yang berkesan, dan seterusnya mengoptimumkan struktur bekalan produk makanan.