- Lain-lain
Broked Shu Pengikat Impian di Universiade Chengdu
Foto ini menunjukkan Ornamen Emas Burung Matahari dan Dewa pada pita pingat Sukan Universiti Dunia Musim Panas FISU ke-31. (Xinhua/Xu Bingjie)
Tidak lama lagi, hasil seni tangan broked Shu yang sejarahnya sudah melebihi 2,000 tahun akan dikalungkan pada atlet-atlet muda di Sukan Universiti Dunia Musim Panas FISU ke-31 di kota Chengdu, provinsi Sichuan.
Pingat yang disediakan untuk temasya, yang dijadualkan berlangsung pada 28 Julai hingga 8 Ogos, dipasang pada reben yang dibuat menggunakan ketukangan dan bahan-bahan broked Shu, suatu warisan budaya tak ketara kebangsaan yang cukup tinggi nilainya.
“Broked Shu penting kedudukannya sebagai salah satu fabrik broked paling awal dihasilkan di dunia,” kata Lai Fei, penyelidik bersekutu di muzium provinsi Sichuan. “Di China, broked Shu sekali dengan broked Song, Yun dan Zhuang disenaraikan sebagai empat jenis broked yang paling terkenal.”
Reben broked tersebut, yang berukuran 2.5 sentimeter lebar dan 105 sentimeter panjang, dihias dengan pelbagai corak termasuk “Burung-burung Matahari dan Dewa”, yang mewakili tema-tema cahaya, harapan, dan impian. Ia juga memaparkan corak awan dan bunga bandar Chengdu iaitu bunga raya, menjadikan rekaannya lebih signifikan lagi dari segi budaya.
Kecantikan broked Shu letaknya pada jalinan benang-benang biasa, twil dan satin, yang memberikan reben itu rupa yang tersendiri. Apabila terdedah kepada cahaya semula jadi, permukaan reben akan memantulkan pelbagai warna. Corak awan yang menghiasinya juga akan nampak hidup, yang kesannya berubah-ubah mengikut arah cahaya.