- Lain-lain
Mi Siput Liuzhou Laris di 28 Wilayah dan Negara
Pada masa ini, mi siput atau juga dikenali sebagai luosifen, sejenis mi istimewa di Liuzhou, Guangxi, laris di seluruh dunia. Kepopularannya juga memberi impak kepada pengeluar bahan mentah di perkampungan setempat, misalnya penternak siput.
Dimaklumkan bahawa, dengan bantuan kewangan dari China Tobacco Guangxi Industrial Co. Ltd., sebuah pangkalan demonstrasi penternakan siput sawah telah didirikan di kampung Maping, Liuzhou, yang telah membawa peluang pekerjaan dan peningkatan pendapatan kepada penduduk tempatan.
Siput yang akan dimasukkan ke dalam sawah. (Foto/Li Ning)
“Tahun lepas kami telah membina pangkalan penternakan siput sawah seluas 20 mu dan meraih pendapatan lumayan tanpa menjejaskan pengeluaran padi. Ini telah membawa keyakinan kepada kami. Tahun ini pangkalan itu telah diperluas kepada 50 mu, jumlah pengeluaran dijangka bernilai melebihi 200,000 yuan,” demikian maklum pegawai tempatan.
Pegawai tempatan memilih siput. (Foto/Li Ning)
Pegawai tempatan memasukkan siput ke dalam sawah. (Foto/Li Ning)
Banyak lagi kampung seperti kampung Maping yang giat mengembangkan pengeluaran bahan mentah mi siput di Liuzhou. Tahun lepas kerajaan perbandaran Liuzhou memberi pengiktirafan kepada 20 pangkalan pengeluaran bahan mentah termasuk rebung, kekacang, siput dan kulat, seluas 55.2 mu. Ia membawa kepada peningkatan pendapatan tahunan per kapita hampir 10,000 yuan bagi lebih 200,000 penduduk luar bandar.
Mi siput Liuzhou bukan sekadar laris di China, tetapi popular juga di luar negara, terutamanya di negara-negara Asia Tenggara seperti Vietnam, Kemboja dan Thailand yang juga menggemari rasa pedas dan masam.
Statistik Kastam Liuzhou menunjukkan bahawa pada tahun 2022, mi siput Liuzhou dijual ke 28 wilayah atau negara. Dalam tempoh Januari hingga Mei lalu, nilai jumlah pengeksportan mi siput Liuzhou mencatat 50 juta yuan, meningkat 47% tahun ke tahun dan menunjukkan momentum yang kuat.