- Lain-lain
Hubungan Gajah, Penduduk Xishuangbanna Makin Baik
Setibanya waktu minum petang, seekor gajah betina Yang Niu meluru dengan teruja, berhenti secara tiba-tiba di hadapan pengunjung dan kemudiannya menunggu untuk menikmati santapan.
"Jangan risau, walaupun Yang Niu sering tergesa-gesa, ia takkan merempuh anda semua," ujar Chen Jiming, seorang renjer di Pusat Pembiakan dan Penyelamatan Gajah Asia Xishuangbanna di Yunnan, barat daya China kepada pelancong sambil tersenyum.
Berketinggian 1.9 meter, dengan berat 1.4 tan, usia Yang Niu akan mencecah usia lapan tahun pada tahun ini, iaitu bersamaan dengan umur kanak-kanak manusia.
Melihat kegembiraan pada raut wajah gajah itu ketika menikmati lobak merah yang baru dipotong, mungkin ramai yang tidak menyangka bahawa Yang Niu dahulunya ‘anak terbiar’ sebelum diselamatkan oleh penduduk kampung.
Ia ditemui pada 17 Ogos 2015, berhampiran sebuah kampung di bandar Pu'er dalam keadaan yang tidak baik.
Menurut Chen, berat Yang Niu ketika itu hanya 76 kilogram. Berat biasa bagi anak gajah yang baru lahir dalam keadaan sihat ialah 100 kilogram.
Tanpa berlengah, penduduk kampung memberikan air dan makanan kepada anak gajah yang lemah itu sebelum menghubungi pusat penyelamat.
Mengetahui anak gajah itu memerlukan susu, seorang penduduk kampung membawa tiga ekor kambing dari tempat sejauh 100 kilometer. Dilahirkan pada Tahun Kambing, dan diberikan susu kambing, penduduk kampung sebulat suara memanggilnya ‘Yang Niu’, yang bermaksud ‘gadis kambing’ dalam bahasa Cina.
Pengarah pusat perlindungan dan pengurusan gajah Asia, Wang Bin memberitahu bahawa Yang Niu berjaya diselamatkan hasil daripada kesedaran penduduk kampung yang semakin meningkat dalam perlindungan haiwan.
Wartawan kanan Yunnan Daily, Dai Zhenhua yang sekian lama membuat laporan berkenaan gajah liar bersetuju dengan pandangan tersebut.
"Konflik antara gajah dan manusia di sini (Yunnan) sangat serius pada sedekad lalu apabila haiwan itu merosakkan tanaman dan menyerang masyarakat tempatan,” kongsi Dai, mengenang kembali keadaan dahulu. "Penduduk kampung tidak menyukai gajah dan akan menghalaunya atau mencederakannya."
Jurnal akademik Isu Ekonomi Perhutanan pada 2020 mengeluarkan artikel yang memperincikan kerugian ekonomi besar diakibatkan gajah di daerah autonomi Xishuangbanna.
Memetik artikel tersebut, jumlah kehilangan bijirin direkodkan sekitar 44,530 tan antara tahun 1991 dan 2004, manakala tebu pula sekitar 60,000 tan. Dari 1991 hingga 2008, lebih daripada 140 orang diserang oleh gajah liar.
Gajah Asia, spesies penting dalam ekosistem hutan hujan, diberikan perlindungan peringkat negara kelas pertama di China dan kebanyakan gajah ditemui di seluruh Yunnan.
Meskipun populasinya semakin berkurangan di seluruh dunia, populasi spesies terancam di China telah meningkat daripada 150 pada 1980-an kepada 360 pada masa ini, yang juga merupakan hasil usaha perlindungan sejak beberapa dekad lalu.
Statistik menunjukkan bahawa dua pertiga gajah Asia liar telah merayau keluar dari habitat alam semula jadi, sekali gus menyebabkan lebih banyak pertembungan dengan manusia.
Yunnan turut menaikkan standard pampasan untuk tanaman yang lebih cenderung dimakan gajah, bagi membantu melindungi kepentingan petani.
Dalam tempoh Rancangan Lima Tahun ke-13 (2016-2020), sebanyak RMB297 juta (sekitar RM189 juta) telah dibayar di wilayah itu untuk menampung kerugian yang disebabkan oleh hidupan liar, terutamanya gajah Asia.
Pada 2010, Yunnan menjadi kawasan peringkat provinsi pertama di China yang memperkenalkan insurans komersial untuk kerosakan yang disebabkan oleh hidupan liar, dengan seluruh wilayah berada di bawah perlindungan insurans menjelang 2014.
"Dengan adanya pampasan itu, penduduk kampung tidak lagi marah terhadap haiwan liar yang mencari makan di ladang, menjadikan hubungan antara manusia dan gajah bertambah baik," kata Wang Bin.
Tambah beliau, penduduk kampung yang mendapati gajah tercedera akan terus menghubungi penyelamat, seperti yang berlaku kepada Yang Niu, dan bukannya menghalau haiwan tersebut.
Difahamkan, wilayah itu juga telah mewujudkan sistem pemantauan dan amaran untuk memaklumkan penduduk kampung tentang keberadaan haiwan liar dalam bentuk mesej WeChat, mesej teks dan penyiaran.
Di daerah Menghai sahaja, hampir 60 situasi yang mungkin menimbulkan konflik antara manusia dan gajah liar dapat dielakkan dengan usaha tersebut.
Mengimbas kembali pada 2021, segerombolan gajah yang berkeliaran telah menarik perhatian global, yang menunjukkan kewujudan bersama secara harmoni antara manusia dan haiwan liar.
Penyelamat memberi makan kepada anak gajah sakit yang ditinggalkan oleh kumpulannya di Xishuangbanna, provinsi Yunnan, barat daya China, 29 Ogos 2021. (Pusat Pembiakan dan Penyelamatan Gajah Asia Xishuangbanna)
Bagi Chen Jiming, keharmonian sebegitu satu kebiasaan pada masa ini.
Beliau berkata, beberapa hari lalu pihaknya menerima panggilan telefon daripada penduduk kampung yang memberitahu ada dua anak gajah memerlukan bantuan di dalam kolam berlumpur.
Kata Chen, beliau dan rakan-rakan tiba serta-merta, dan mendapati gajah-gajah itu mahu menyejukkan badan dalam cuaca panas.
“Walaupun bukan kecemasan sebenar, ia menunjukkan kasih sayang dan perhatian penduduk kampung terhadap gajah.
"Kami akan terus menyebarkan pengetahuan mengenai gajah liar kepada orang ramai supaya penduduk tempatan lebih mengenali haiwan itu," kata renjer itu.
- Kawanan Gajah Asia Cari Makan di Sawah Yunnan
- Ucapan Xi mengenai Perlindungan Ekologi Dapat Pujian
- 15 Spesies Ikan Paus Dilihat di Laut China Selatan
- China Galak Modenisasi Berteraskan Simbiosis Manusia, Alam Sekitar
- Aksu: Daripada Padang Pasir kepada Tembok Besar Hijau
- Xi Tandatangan Dekri
- Senada Seru Perkukuh Kerjasama Rungkai Cabaran Global
- China Jadi Contoh Kawalan Penggurunan
- Xi Mahu Usaha Konsisten Cipta Keajaiban Baharu dalam Bendung Penggurunan
- Hari Alam Sekitar Sedunia: Guangzhou, Habitat Mesra Burung