- Lain-lain
Firma China Kongsi Teknologi Taman Padi dengan Petani Myanmar
Foto yang diambil pada 8 Ogos 2023 ini menunjukkan ladang benih berdaftar di Yangon, Myanmar. (Foto oleh Myo Kyaw Soe/Xinhua)
Sebuah syarikat dari provinsi Yunnan di barat daya China telah bekerjasama dengan Kementerian Pertanian, Ternakan dan Pengairan Myanmar bagi mengadakan seminar perkongsian ilmu untuk petani tempatan di sini.
Acara itu diadakan di ladang demonstrasi Jabatan Pertanian Wilayah Yangon pada hari Selasa. Tujuan acara itu dijalankan adalah untuk menambah baik amalan pertanian, meningkatkan hasil tanaman, dan mempromosikan pembangunan hijau di Myanmar, kata penganjur.
Kira-kira 50 orang petani menyertai seminar yang diadakan di ladang demonstrasi seluas 30 ekar di pinggir Yangon.
Bercakap pada majlis itu, Fu Shaoxue, seorang pegawai eksekutif Yuntianhua Group Co., Ltd., berkata kerjasama dalam penubuhan ladang demonstrasi seluas 30 ekar akan meningkatkan hasil pertanian Myanmar pada masa hadapan.
U Win Naing, seorang pengurus ladang demonstrasi padi di Yangon memberitahu Xinhua pada hari Selasa bahawa syarikat China itu berkongsi cara untuk menggunakan baja secara berkesan dan menyediakan baja kimia bagi musim tengkujuh untuk ladang demonstrasinya yang berkeluasan 30 ekar itu.
Pakar China telah membuat ujian tanah terlebih dahulu untuk ladangnya sebelum menyediakan baja, kata Win Naing. Teknologi penanaman padi China terbukti berkesan dan lebih hebat berbanding kaedah tempatan, tambahnya.
"Teknologi China lebih baik daripada kita. Mereka datang untuk memberikan bantuan dan bekerjasama dengan kita," katanya sambil menambah bahawa petani tempatan telah mendapat banyak manfaat daripada bantuan teknologi dan perkongsian pengetahuan dari China.
Thant Zin Maung, penasihat Persekutuan Beras Myanmar memberitahu Xinhua bahawa mereka berkongsi kaedah petanian dalam seminar itu dengan salah satu amalan pertanian yang baik seperti waktu terbaik menggunakan baja, cara menggunakan baja, dan jenis baja yang harus digunakan untuk meningkatkan hasil tanaman.
Hla Oo, pengimport jentera pertanian di Myanmar dan juga penganjur seminar berkata, Myanmar dan China telah membina hubungan perdagangan yang jelas. Sokongan China dalam sektor pertanian Myanmar memberi manfaat kepada petani, negara dan pengguna China.
Myanmar mengeluarkan kira-kira 14 juta tan beras giling setiap tahun, dengan sekitar 10 hingga 11 juta tan digunakan dalam negara dan lebihan 2 hingga 2.5 juta tan dieksport ke pasaran asing. Ayeyarwaddy, Yangon, Bago, Mandalay, dan Sagaing adalah kawasan utama untuk penanaman padi di negara Asia Tenggara itu.