- Lain-lain
Apakah Pemodenan Afrika? Xi Beri Jawapan
Presiden China Xi Jinping dan rakan sejawatan dari Afrika Selatan Cyril Ramaphosa bersama-sama mempengerusikan Dialog Pemimpin China-Afrika di Johannesburg pada Khamis. Xi menyampaikan ucapan bertajuk“Berganding Bahu ke Arah Pemodenan bagi Wujudkan Masa Depan China-Afrika yang Indah”.
Apa itu pemodenan Afrika? Dan bagaimana melakar cetak biru kerjasama China-Afrika bagi masa akan datang?
Dunia kini mengalami perubahan besar yang tidak pernah berlaku selama beratus tahun. Berdepan cabaran-cabaran semasa seperti defisit pembangunan, masalah keselamatan dan konflik peradaban, China dan negara-negara Afrika berusaha meneroka jalan pemodenan untuk menjawab pertanyaan sezaman tersebut.
Presiden Xi berpendapat bahawa China dan Afrika patut bersinergi untuk membina iklim pembangunan yang baik. Oleh itu, beliau mengesyorkan untuk mengamalkan multilateralisme sebenar, menentang kolonialisme dan hegemoni, dan mendorong orde antarabangsa berkembang ke arah lebih adil dan rasional.
Dalam dialog China-Afrika kali ini, Presiden Xi menegaskan kesediaan China untuk menjadi rakan Afrika dalam perjalanan menuju ke pemodenan. Beliau turut mengemukakan siri rancangan dan tindakan bantuan kepada Afrika.
Pihak China akan memperkenalkan Inisiatif Menyokong Pengindustrian Afrika, menggunakan sumber China dan menggalakkan syarikat negara ini membantu Afrika mengembangkan industri perkilangan, supaya mewujudkan pengindustrian dan kepelbagaian ekonomi.
Pada masa sama, China akan melaksanakan rancangan membantu sektor pertanian Afrika mewujudkan pemodenan, membawa produk dari Afrika ke pasaran China, di samping memberikan bantuan makanan kecemasan kepada negara-negara Afrika.
Selain itu, China akan melaksanakan projek memupuk bakat untuk negara Afrika, antaranya melatih tenaga pengajar dan pertukaran di kalangan institusi pengajian tinggi (IPT).