- Lain-lain
PM China Ucap Tahniah Hari Kemerdekaan Malaysia
Perdana Menteri China Li Qiang menyampaikan perutusan tahniah kepada rakan sejawatnya dari Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Hari Kemerdakaan Malaysia ke-66 yang disambut pada hari ini.
Li berkata Malaysia melakar kemajuan signifikan dalam pembangunan ekonomi dan sosial sejak kemerdekaan dicapai 66 tahun lalu.
Beliau menyifatkan China dan Malaysia sebagai jiran, sahabat dan rakan kongsi yang baik, dan hubungan antara kedua-dua negara mengekalkan trend perkembangan yang kukuh.
China dan Malaysia akan meraikan ulang tahun ke-10 perkongsian strategik komprehensif pada tahun ini dan jubli emas ikatan diplomatik pada tahun hadapan.
Mengambil peluang ini, Li meluahkan hasrat China untuk berusaha bersama dengan Malaysia bagi memperkasa kerjasama pragmatik dalam pelbagai bidang, memperdalam penyelarasan strategi pembangunan dan memantapkan pembinaan komuniti berkongsi nasib demi membawa lebih banyak manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.