- Lain-lain
China Bersedia Rapatkan Persahabatan dengan Malaysia
Perdana Menteri China, Li Qiang mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Malaysia, Dato' Seri Anwar bin Ibrahim di Nanning, China hari ini.
Li Qiang menyatakan bahawa Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri Anwar telah mencapai konsensus penting untuk bersama-sama membina komuniti berkongsi nasib China-Malaysia pada Mac lalu.
Beliau berkata, China bersedia bekerjasama dengan Malaysia, berpandukan konsensus penting yang dicapai pemimpin kedua-dua negara, meneruskan dan merapatkan persahabatan dari generasi ke generasi, melonjakkan tahap kesalingpercayaan politik, dan mempergiat penyelarasan strategi pembangunan antara satu sama lain.
Li menyatakan, China bersedia terus bersama-sama Malaysia meningkatkan pembangunan berkualiti tinggi inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), memperkasakan pembangunan dua taman perindustrian, projek Kereta Api Pantai Timur, di samping mencipta titik pertumbuhan baharu bagi kerjasama melibatkan sektor kenderaan tenaga baharu dan ekonomi digital, mempergiat interaksi sosiobudaya hingga memberikan limpahan manfaat kepada rakyat kedua-dua negara, serta menyumbang kepada kestabilan dan kemakmuran serantau.
Anwar pula berkata bahawa pihaknya menghargai Inisiatif Pembangunan Global, Inisiatif Keselamatan Global dan Inisiatif Peradaban Global yang dianjurkan oleh Presiden Xi Jinping.
Beliau turut menzahirkan kesediaan pihak Malaysia untuk mengintensifkan kerjasama dengan China dalam pelbagai bidang, mempergiat pertukaran tamadun, agar memajukan hubungan antara Malaysia dan China menjadi lebih kukuh dan mantap.