- Lain-lain
Pastri Gaya Cina Dorong Sektor Bakeri
Pasaran untuk pastri bercirikan Cina dijangka untuk terus berkembang dengan dorongan daripada lonjakan permintaan dalam kalangan belia serta peningkatan kesedaran mengenai pemakanan yang lebih sihat dalam kalangan orang ramai.
Memetik laporan iiMedia Research, saiz pasaran pastri dalam sektor domestik diunjurkan berkembang sebanyak 7.6 peratus dari tahun ke tahun kepada RMB307 bilion (USD42.1 bilion) tahun ini.
Tambah laporan institut penyelidikan data yang berpangkalan di Guangzhou, provinsi Guangdong pada Ogos lalu itu, saiz pasaran industri dijangka mencecah hampir RMB352 bilion menjelang 2025.
Pastri gaya Cina, seperti kuih pes kurma dan kuih kacang hijau, semakin popular pada musim festival. (Foto/China Daily)
Menurut laporan itu lagi, pada masa sama, produk perusahaan reroti Cina seperti kek kacang hijau, pastri nanas, biskut bijan dan roti yang diperbuat daripada pulut turut menjadi semakin popular berikutan beberapa faktor termasuk aktiviti promosi oleh pempengaruh media sosial yang aktif memberikan ulasan.
Tambah laporan tersebut, majoriti pengguna produk pastri Cina terdiri daripada golongan belia dan orang pertengahan umur.
Difahamkan, golongan itu cenderung untuk membeli produk bakeri sebanyak enam kali sebulan, dengan membelanjakan sekitar RMB50 hingga RMB100 setiap pembelian.
"Memandangkan orang ramai mementingkan gaya hidup dan pemakanan yang sihat, pembuat pastri China juga menyesuaikan kategori produk mereka untuk lebih mempelbagaikan makanan sihat yang rendah gula dan lemak," kata laporan itu.
Jelas laporan itu lagi, pengusaha pastri China mempunyai kelebihan termasuk menggunakan bahan-bahan sihat tradisional seperti bijan hitam dalam produk reroti masing-masing.
Bagi Gao Nan yang tinggal di Wuxi, provinsi Jiangsu, dia menyatakan bahawa salah satu makanan ringan kegemarannya semasa musim panas adalah kek kacang hijau, iaitu kek tradisional China yang diperbuat daripada kacang hijau yang dikisar dan dimasak.
"Dalam teori perubatan tradisional Cina, kacang hijau boleh menghilangkan panas dalaman dan melegakan penyakit berkait cuaca panas.
"Kemanisan kuih kacang hijau sesuai dengan cita rasa saya. Saya juga berasa kurang bersalah jika dijadikan sebagai snek berbanding aiskrim," ujar wanita itu.
Taosu, atau biskut roti pendek gaya Cina, dijual di kedai Pastri Luxihe di Shanghai pada bulan Februari. (Foto/China Daily)