- Lain-lain
China Sasar Pembangunan Berkualiti Sektor Kewangan
Persidangan kerja kewangan pusat China pertama diadakan pada 30 hingga 31 Oktober.
Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) yang juga Presiden China, Xi Jinping ketika berucap pada persidangan itu merumuskan kerja kewangan dalam tempoh sedekad lalu dan mengatur kerja selanjutnya untuk tahun hadapan.
Masalah dan cabaran yang didepani sektor kewangan menjadi tumpuan persidangan kali ini, antaranya bagaimana meningkatkan peranan sektor berkenaan dalam menjana ekonomi sebenar.
Xi menekankan perlunya memastikan sektor kewangan dapat memberi perkhidmatan berkualiti untuk pembangunan sosioekonomi, terutamanya kepada strategi utama dan bidang-bidang penting.
Beliau menuntut supaya lebih banyak sumber kewangan disalurkan untuk memacu inovasi teknologi, pembuatan canggih dan pembangunan hijau, menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta menjamin keselamatan makanan dan tenaga.
Selain itu, sumber berkenaan perlu dioptimumkan bagi memantapkan perkhidmatan kewangan melibatkan sains dan teknologi, mesra alam, kebajikan sosial, pencen dan sektor digital.
Antara perkara yang turut diberi penekanan termasuk membina institusi kewangan dan sistem pasaran yang moden, merancakkan aliran modal kepada ekonomi sebenar dan lain-lain.
Persidangan kerja kewangan pusat itu juga menekankan perlunya memperkasa penyeliaan dan kawalan bagi mencegah risiko kewangan.
Berhubung usaha menggerakkan pengantarabangsaan pasaran kewangan China, persidangan itu menegaskan perlunya memantapkan keterbukaan sektor kewangan secara keinstitusian, mempermudah pelaburan dan pengumpulan modal rentas sempadan, di samping memperkukuh daya saing Shanghai serta status Hong Kong sebagai pusat kewangan antarabangsa.
- Wartawan Eurasia Rasai Debaran pada Ketinggian 370 Meter di Guizhou
- Wartawan Asing Saksi Kehangatan Liga Bola Keranjang Desa di Guizhou
- Sanjiangyuan: Selangkah Saja dari Langit
- Jelajah Inspirasi China: BRI Dipuji Pegawai Tanzania kerana Galakkan Kerjasama, Ketersambungan global
- Lawatan Inspirasi ke Seluruh China: Guru dari Malta Puji BRI