- Lain-lain
Lapangan Terbang Antarabangsa Hasil Pelaburan China di Kemboja Dirasmikan
(Foto/Xinhua)
Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap Angkor (SAI), iaitu projek hasil pelaburan China di wilayah Siem Reap, barat laut Kemboja telah dirasmikan pada Khamis.
Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dalam ucapan perasmian menyifatkan SAI sebagai satu lagi hasil kerjasama baik antara Kemboja dan China di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).
Pada masa sama, beliau juga berkata bahawa ia merupakan pencapaian baharu dalam industri penerbangan negaranya.
"Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap Angkor adalah buah keamanan dan merupakan pencapaian cemerlang baharu persahabatan kuku besi antara Kemboja dan China," kata Hun pada majlis yang dihadiri lebih 1,000 orang.
Beliau turut menyatakan bahawa lapangan terbang itu dilancarkan ketika Kemboja dan China meraikan ulang tahun ke-65 penubuhan hubungan diplomatik, serta ulang tahun ke-10 penubuhan BRI.
“Perasmian lapangan terbang ini hari ini adalah bukti baharu kepada hubungan diplomatik yang kukuh dan kerjasama erat antara Kemboja dan China,” ujar Hun.
Beliau berkata, lapangan terbang itu akan memberi dorongan besar kepada sektor pelancongan di wilayah Siem Reap, dan penduduk tempatan akan mendapat manfaat secara langsung daripadanya.
Dilaburkan oleh Angkor International Airport Investment (Cambodia) Co. Ltd, iaitu anggota gabungan Yunnan Investment Holdings Ltd. China, lapangan terbang seluas 700 hektar itu direka bentuk dalam gaya seni bina tradisional Kemboja.
Dikategorikan sebagai peringkat 4E, lapangan terbang antarabangsa itu berkapasiti untuk mengendalikan 7 juta penumpang udara setahun mulai 2024 dan sehingga 12 juta penumpang setiap tahun mulai 2040.
Dengan landasan sepanjang 3,600 meter, SAI kini merupakan lapangan terbang terbesar di Kemboja dan pintu masuk utama ke Taman Arkeologi Angkor yang disenaraikan oleh UNESCO, iaitu salah satu tarikan pelancong paling popular di sana.