- Lain-lain
China Ikrar Sokong Pembangunan Ekonomi Swasta
Foto bertarikh 11 Januari 2023 ini memperlihatkan pekerja di kilang Lotus Cars di tapak perindustrian Zon Pembangunan Ekonomi dan Teknologi Wuhan, provinsi Hubei, bahagian tengah China. (Xinhua/Xiao Yijiu)
China mengumumkan langkah konkrit dalam enam bidang untuk meningkatkan sokongan terhadap ekonomi swasta, iaitu kesinambungan daripada langkah-langkah terdahulu yang dilancarkan pada 2023, yang juga menyaksikan perusahaan swasta mencatat pertumbuhan perdagangan dan pelaburan yang tinggi.
Ketua Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Negara, Zheng Shanjie pada Selasa berkata, China akan mengambil lebih banyak langkah pragmatik dalam enam bidang.
Beliau yang juga perancang ekonomi utama China membuat kenyataan itu semasa berlangsungnya persidangan bertemakan pembangunan berkualiti tinggi ekonomi swasta, di Jinjiang, provinsi Fujian, timur China.
Difahamkan, enam langkah yang digariskan adalah mempercepat proses penggubalan undang-undang untuk menggalakkan ekonomi swasta; meningkatkan komunikasi dan pertukaran pelbagai peringkat serta mendengar keluhan perusahaan swasta; memperkukuh analisis pembangunan ekonomi swasta; menarik lebih banyak modal persendirian untuk mengambil bahagian dalam projek kejuruteraan utama negara seperti kereta api dan tenaga nuklear, serta lain-lain yang meliputi tenaga, kemudahan air, dan perlindungan ekologi dan alam sekitar; menyebar luas amalan dan perkara baik untuk pembelajaran bersama; dan menambah baik mekanisme kerja dengan tujuan untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pembangunan ekonomi swasta.
Untuk itu, satu siri dasar untuk menggalakkan pembangunan ekonomi swasta telah diperkenalkan pada 2023.
"Dengan pelaksanaan dasar dan langkah ini, pembangunan ekonomi swasta telah menunjukkan arah aliran umum kemajuan yang stabil dan peningkatan yang cemerlang," kata Zheng.
Data kerajaan menunjukkan bahawa dari Januari hingga November 2023, import dan eksport perusahaan swasta meningkat sebanyak 6.1 peratus tahun ke tahun.
Pada masa sama, tidak termasuk pelaburan dalam sektor hartanah, pelaburan swasta meningkat sebanyak 9.1 peratus tahun ke tahun.