- Lain-lain
Kemajuan Rendah Karbon Bukan Petanda Pertumbuhan Perlahan
Pemandangan kemudahan tenaga suria di Tongchuan, provinsi Shaanxi, pada bulan Ogos. (China Daily/Yuan Jingzhi)
China memperlihatkan peningkatan ketara dalam persekitaran ekologinya pada 2023 dengan mempamerkan kemajuan yang mengagumkan dalam peralihan kepada ekonomi hijau rendah karbon.
China telah mempergiatkan usaha untuk memerangi pencemaran udara dengan melaksanakan penaiktarafan terpantas di dunia dalam kualiti udara selepas menangani pencemaran berkaitan batu arang.
Selain itu, struktur tenaga China juga bertambah baik dengan pantas hasil daripada pembangunan pesat sumber tenaga boleh diperbaharui dan baharu.
Malah dari Januari hingga September 2023, China menambah 172 juta kilowatt kapasiti tenaga boleh diperbaharui, iaitu meningkat 93 peratus dari tahun ke tahun, sekali gus menjadikan tenaga boleh diperbaharui sebagai sumber bekalan elektrik yang penting.
Sementara itu, usaha perlindungan dan pemulihan ekosistem turut berkembang dengan baik, dengan lebih RMB600 bilion (83.8 bilion dolar Amerika) dilaburkan dalam lebih 10,000 projek membabitkan sektor ekopersekitaran dari Januari hingga Ogos 2023.
Kejayaan awal boleh dilihat dari segi pencapaian dalam pembinaan kumpulan pertama lima taman negara baharu, dengan penambahan sebanyak 49 lagi taman negara yang bakal dipilih. Kesemua taman itu akan meliputi kira-kira 1.1 juta kilometer persegi, menjadikannya secara kumulatif kawasan perlindungan terbesar di dunia.
Pada masa sama, cabaran baharu turut sama muncul dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Sebagai contoh, kini terdapat beberapa kerajaan tempatan yang mengutamakan pencapaian sasaran penilaian rendah karbon tanpa menilai kerasionalan langkah mereka dari sudut ekonomi. Ini secara tidak langsung membawa kepada fenomena seperti "pengurangan karbon gaya kempen", "pengurangan karbon serangan", dan pendekatan pukul rata.
Untuk menyelesaikan masalah ini dan merealisasikan pembangunan hijau dan rendah karbon, China telah membentangkan pelan terperinci untuk mencapai kemuncak pelepasan karbon dioksida sebelum 2030 dan neutraliti karbon sebelum 2060. Tumpuan akan diberikan terutamanya kepada lima aspek, iaitu membina sebuah sistem pembangunan ekonomi yang bersifat hijau, rendah karbon dan kitaran; menjadikan penggunaan tenaga lebih cekap; meningkatkan perkadaran penggunaan tenaga bukan fosil; mengurangkan pelepasan karbon dioksida; dan meningkatkan kapasiti penyerap karbon ekosistem.
Pihak berkuasa pusat juga merancang untuk mengalihkan kawalan dwi negara daripada "kawalan tunggal" kepada "kawalan sistem", terutamanya dengan mengurangkan kekangan ke atas penggunaan tenaga bersih. Ini akan mewujudkan lebih banyak kaedah untuk mengurangkan pelepasan CO2, mencapai peralihan tenaga dan menggalakkan pembangunan ekonomi, menyediakan sokongan institusi untuk kemuncak pelepasan karbon dan mencapai neutraliti karbon.
China adalah pengeluar karbon utama, namun negara ini turut memainkan peranan penting dalam pengurangan pelepasan karbon global, serta merupakan penjana terbesar tenaga boleh diperbaharui dan kuasa yang amat diperlukan dalam mewujudkan pasaran karbon antarabangsa yang berkesan.
Khamis lalu, pihak berkuasa pusat melancarkan garis panduan untuk mempromosikan Inisiatif China Cantik, pelan tindakan pembangunan peringkat tinggi yang memperincikan sasaran khusus untuk pelbagai sektor demi pembangunan hijau dan berkualiti tinggi negara bagi menangani perubahan iklim, seterusnya mewujudkan masa depan yang lebih hijau.
- Sistem Penyimpanan Tenaga Karbon Dioksida Pertama Berjaya Dibina di Anhui
- Dialog Usahawan Antarabangsa di UAE mengenai Pembangunan Lestari
- China Komited Bersama Negara Membangun Menuju Masa Depan Rendah Karbon
- China Kemukakan Usul Berhubung CBAM dalam Sesi Tahunan WTO
- 600 Bilion Meter Padu Gas Asli Dikeluarkan Medan Minyak Terbesar China
- Shanxi, Pelopor Batu Arang "Hijau" Utara China
- Jadikan Pembangkitan Luar Bandar China Sebagai Panduan: UN-Habitat
- Skylight Pintar Gergasi Siap Dibina di Stesen Xiamenbei
- China Cepatkan Transformasi Industri Sumber Tenaga dalam Tempoh Sedekad
- Peluang Kedua buat Gajet Terpakai