- Lain-lain
China Teguh Pelihara Sistem Dagangan Multilateral
China bersedia memperkasa sinergi dengan pelbagai pihak bagi mendorong persidangan peringkat menteri ke-13 (MC13) Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) melakar lebih banyak hasil pragmatik.
Demikian dinyatakan jurucakap Kementerian Perdagangan China He Yadong menjelang MC13 yang dijadual berlangsung di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu pada 26 hingga 29 Februari.
He berkata persidangan peringkat menteri itu merupakan yang julung kalinya dianjurkan sejak pembaharuan WTO dimulakan. Menteri Perdagangan Wang Wentao akan mengetuai delegasi China ke sidang berkenaan.
Menurut beliau, kini pemulihan ekonomi dunia perlahan, sementara momentum pertumbuhan perdagangan tidak mencukupi. Cabaran global juga makin bertambah termasuk dalam bidang keselamatan makanan dan tenaga, perubahan iklim dan ketidakseimbangan pembangunan.
Sebagai tonggak penting multilateralisme dan wadah signifikan kepada tadbir urus ekonomi global, WTO mampu memberi sumbangan positif untuk merungkai masalah dan cabaran bersama yang dihadapi dunia.
Jurucakap itu berkata China mengesyorkan globalisasi ekonomi yang terangkum dan membawa manfaat kepada semua, dan komited mengamalkan multilateralisme jitu.
China juga teguh memelihara sistem perdagangan multilateral, bersedia mengambil bahagian secara menyeluruh dalam pembaharuan WTO dan menyokong WTO memainkan peranannya dengan lebih baik.