- Lain-lain
Koordinasi Beijing-Tianjin-Hebei Berhasil
Pada awal 2014, China melancarkan satu strategi penting untuk menyelaraskan pembangunan Beijing, Tianjin dan Hebei – membentuk satu kluster kawasan perbandaran yang dipanggil “Jing-Jin-Ji”.
Pekerja memeriksa terowong yang merupakan sebahagian Laluan 22 jaringan transit rel bandar Beijing yang melintasi Langfang di provinsi Hebei, pada bulan lepas. Laluan ini akan menyambungkan daerah Pinggu ke pusat bandar menerusi Yanjiao, sebuah kawasan bawah pentadbiran Langfang yang letaknya seberang Sungai Chaobai dari Beijing. (Xinhua/Wang Xiao)
Membangun bersama
Pada Jun 2015, Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China bersama-sama Dewan Negara menerbitkan Garis Panduan bagi Pelan Pembangunan Terselaras Kawasan Beijing-Tianjin-Hebei, yang jelas menetapkan peranan Hebei dalam strategi tersebut. Ini termasuklah kedudukannya sebagai zon rintis transformasi dan penaiktarafan industri serta zon sokongan ekologi dan alam sekitar bagi kluster berkenaan.
Sebagai respons, Hebei telah mengambil pelbagai langkah untuk terus mempercepat transformasi dalam enam industri utama, antaranya keluli, arang, simen dan kuasa terma (haba).
Menurut pelan pembangunan terselaras, mengekhaskan Beijing kepada peranan sebagai ibu negara dijadikan sasaran penting, yang turut membawa kepada penempatan semula banyak industri dan sumber di luar kota itu.
Setakat hujung Disember, syarikat-syarikat yang beroperasi di kawasan teknologi tinggi Zhongguancun, Beijing telah membuka lebih 10,000 cawangan di Tianjin dan provinsi Hebei.
“Kami melihat jelas bagaimana galaknya penempatan semula dilakukan di Beijing susulan integrasi Tianjin dan Hebei,” kata Yan Jihong, datuk bandar Baoding yang juga seorang wakil Kongres Rakyat Kebangsaan.
Pekerja menguji cip di sebuah kilang elektronik di daerah Luquan, Shijiazhuang, provinsi Hebei, pada bulan lepas. (foto/China Daily)
Berkongsi khidmat awam
Jaringan pengangkutan rel di seluruh kawasan Beijing-Tianjin-Hebei kini melebihi 11,000 kilometer, bertambah sebanyak 30 peratus sejak 2013, manakala liputan lebuh raya sudah menghampiri 11,000 kilometer iaitu 40 peratus lebih jauh berbanding tahun sama, menurut data rasmi.
Penduduk di tiga lokasi terlibat juga telah menyaksikan semakin mantapnya perkongsian perkhidmatan awam, misalnya perubatan dan pendidikan. Biro Statistik Beijing mendapati lebih 40,000 penduduk warga emas dari Beijing dan Tianjin memilih untuk tinggal di rumah jagaan komuniti di Hebei.
Dalam sedekad lalu, lebih 200 sekolah rendah dan menengah di Beijing dan Tianjin telah menjalinkan kerjasama dengan lebih 200 sekolah di Hebei. Kerajaan provinsi Hebei juga memaklumkan, sebanyak 15 universiti di Beijing akan membuka kampus di Kawasan Baharu Xiong’an.
Pada April 2017, China mengumumkan rancangan untuk menubuhkan Kawasan Baharu Xiong’an, kira-kira 100 kilometer dari Beijing. Mengikut rancangan, Xiong’an akan dibangunkan sebagai komponen penting kluster Beijing-Tianjin-Hebei, mengambil alih fungsi Beijing yang tidak berkaitan dengan statusnya sebagai ibu negara, di samping menyelesaikan penyakit-penyakit yang kerap melanda bandar besar, seperti kepadatan penduduk, pencemaran, dan kesesakan lalu lintas.
Sebuah kapal berlabuh di jeti pintar karbon sifar di Pelabuhan Tianjin pada bulan lepas. Jeti ini menggunakan kecerdasan buatan dan kenderaan automatik untuk meningkatkan kecekapan memunggah kontena. (Xinhua/Zhao Zishuo)