- Lain-lain
Presiden China, Mesir Adakan Perbincangan
Presiden China, Xi Jinping telah mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya dari Mesir, Abdul Fatah Al-Sisi yang berada dalam jadual menghadiri majlis perasmian Mesyuarat Peringkat Menteri ke-10 Forum Kerjasama China-Negara-negara Arab dan lawatan rasmi di China petang semalam.
Dalam perbincangan itu, Xi berkata, pembinaan hubungan China-Mesir yang lebih produktif dan dinamik selaras dengan hasrat rakyat kedua-dua negara di bawah situasi baharu.
Xi menekankan bahawa China sedang berusaha mendorong pembinaan negara dan kebangkitan bangsa, yang dilihat boleh mencipta peluang bagi kerjasama dan interaksi dengan Mesir dalam pelbagai bidang. Kedua-dua pihak perlu terus saling menyokong untuk mendorong pembangunan bersama. China bersedia bersama dengan Mesir untuk memperincikan kerjasama dalam bidang tradisional seperti infrastruktur, perindustrian, tenaga elektrik dan pertanian, di samping meneroka kerjasama dalam bidang baharu seperti perubatan, telekomunikasi dan sumber kitar semula, mengintensifkan kerjasama ekonomi, perdagangan dan pelaburan, menggalakkan lebih banyak syarikat China menguruskan perniagaan dan pelaburan di Mesir.
Selain itu, "Tahun Rakan China-Mesir 2024" perlu dianjurkan dengan baik, dengan tujuannya merancakkan kerjasama sosiobudaya dan pertukaran keanggotaan antara kedua-dua negara, dan membangunkan "Bengkel Luban" di Mesir sebagai projek ikon dalam kerjasama pendidikan vokasional China-Afrika.
China menyokong Mesir memainkan peranan yang lebih besar dalam hal ehwal antarabangsa dan serantau, bersedia bersama dengan Mesir untuk terus merapatkan penyelarasan dalam pelbagai wahana multilateral seperti PBB, Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) dan BRICS, tegas Xi.
Abdul Fatah Al-Sisi pula berkata, Mesir memegang prinsip Satu China, menyokong pendirian China dalam menjaga kepentingan teras milik negaranya seperti yang melibatkan Taiwan, Hong Kong, Tibet dan hak asasi manusia, di samping menyokong China merealisasikan penyatuan tanah air. Mesir mengalu-alukan syarikat China melabur di negaranya yang dilihat kondusif bagi pembangunan perkilangan dan proses perindustrian.
Pemimpin kedua-dua negara bersama-sama menyaksikan penandatanganan beberapa dokumen kerjasama bilateral mengenai rancangan pembinaan bersama dalam kerangka "Jalur dan Laluan" (BRI), inovasi sains teknologi, kerjasama pelaburan dan ekonomi serta kuarantin.