- Lain-lain
Daripada Prodigi Papan Selaju, Zheng Kini Atlet Olimpik Termuda China
Zheng Haohao beraksi semasa Siri Kelayakan Olimpik di Shanghai, timur China pada 16 Mei 2024. (Xinhua/Wang Kaiyan)
Atlet papan selaju dari Huizhou, Provinsi Guangdong, selatan China iaitu Zheng Haohao sudah mencipta rekod meskipun belum melakukan penampilan sulungnya pada Sukan Olimpik Paris kelak.
Dengan berusia 11 tahun, Zheng akan menjadi atlet termuda China untuk bersaing di Sukan Olimpik.
Kanak-kanak itu berjaya menempah tiket ke Olimpik Paris setelah berjaya melepasi Siri Kelayakan Olimpik kategori acara papan selaju perempuan di Shanghai dan Budapest, serta turut menyifatkannya sebagai mimpi jadi realiti.
Kecergasan Zheng yang luar biasa terserlah sejak kecil lagi. Menurut ibunya, Wang Zhe, anaknya itu lebih gemar terhadap permukaan yang tidak rata, iaitu tempat yang membolehkannya untuk memanjat batu dan anak tangga.
Tambah Wang, walaupun mengambil bahagian dalam pelbagai program latihan kemahiran, termasuk muzik, catur, lukisan dan tarian, namun papan selaju menawan hati Zheng apabila dia dihadiahkan papan selaju pada hari lahirnya yang ketujuh.
"Kasut roda pernah menjadi sukan kegemaran saya, tetapi sejak diperkenalkan dengan papan selaju, ia jatuh ke tempat kedua," jelas Zheng.
Zheng beraksi pada Peringkat Akhir Kategori Wanita Kejuaraan Papan Selaju Terbuka di Provinsi Anhui, China pada 30 September 2020. (Xinhua/Zhou Mu)
Ketika berlatih di kelab yang dikendalikan oleh Chen Wanqin, iaitu bapa kepada Chen Ye, atlet juara Sukan Asia, Zheng pada awalnya kerap jatuh dan mengalami pelbagai kecederaan. Namun begitu, dia tetap gigih, dan bakatnya mendapat perhatian ketua jurulatih pasukan provinsi Guangdong pada 2021.
“Dia sangat muda, tetapi begitu fokus terhadap papan selaju. Jika dia tidak dapat mahir satu helah, dia pasti akan segera mencari punca masalah dan terus membetulkannya,” ujar Wei Naizhang, bekas jurulatih Zheng.
Zheng terus memperlihatkan kemajuan pesatnya. Ketika hanya berumur 9 tahun, dia telah mewakili Guangdong untuk Sukan Kebangsaan 2021, menduduki tangga ke-14 pada separuh akhir. Pada Ogos tahun berikutnya, dia berjaya merangkul kejuaraan pada acara papan selaju kategori wanita Sukan Provinsi Guangdong.
Pada 2023, Zheng memulakan perjalanan antarabangsanya selepas membuat penampilan sulung di Argentina ketika menyertai Jelajah Papan Selaju Dunia. Walaupun menghadapi jadual yang padat serta kekangan logistik, dia berjaya tiba di Argentina tepat pada masanya untuk acara kelayakan Olimpiknya yang pertama.
Zheng Haohao beraksi semasa Siri Kelayakan Olimpik di Budapest, Hungary pada 20 Jun 2024. (Xinhua/He Canling)
Semasa menyertai Siri Kelayakan Olimpik Budapest bulan lalu, prestasi Zheng mengalami turun naik. Dia dilihat cemerlang pada pusingan pertama dengan mendapat 63.49 mata. Tetapi, satu kesilapan pada pusingan kedua telah menghukumnya untuk mendapat hanya 43.84 mata. Bagi memastikan dia berpeluang menyertai Olimpik, dia memerlukan sekurang-kurangnya 67.34 mata pada pusingan akhir.
Pada waktu kritikal tersebut, Zheng mengambil risiko berani dengan menggunakan dua helah yang mencabar ke dalam rutin terakhirnya. Tatkala menghadapi tekanan yang besar, dia dia telah memberikan persembahan yang luar biasa, dengan memperoleh 72.6 mata.
Pemikiran positif Zheng menonjol sebagai aset utamanya. Semasa di Budapest, sementara pesaing lain memanaskan badan, Zheng kelihatan terpukau dengan video promosi di skrin besar selama dua minit. Wang Zhe turut menyatakan kebimbangannya, tetapi mengelak daripada memindahkannya kepada anak perempuannya itu.
Melihat ke hadapan ke Sukan Paris, Zheng berkata pertandingan Olimpik akan menjadi acara yang paling tidak memberi tekanan kepadanya.
"Menyertai Sukan Olimpik bermakna lebih ramai orang akan mengenali saya. Saya mula bermain papan selaju hanya untuk mencari kawan baharu dan berseronok," kata Zheng.
Pada mulanya tertarik dengan sukan papan selaju kerana kegembiraan mendapat kawan baharu, Zheng kini menghadapi sedikit cabaran untuk mengimbangi latihan dengan masa lapang.
"Sukar apabila ibu saya memanggil saya untuk berlatih semasa saya bermain. Saya akan berkata, 'Ibu, mari ponteng latihan hari ini,'" dia mengakui dengan jujur.
"Tetapi kemudian saya memilih untuk berlatih kerana saya merasakan bahawa berlatih lebih akan membawa saya lebih dekat kepada impian saya bermain papan selaju," ujar Zheng.
- Persediaan Sempena Siri Kelayakan Olimpik Shanghai
- Tak hampa menanti: Tujuh Atlet China Terima Pingat Olimpik
- CMG, Badan Penyiar Utama Sukan Olimpik 2024 di Paris
- Singapura Tuan Rumah Kejohanan Renang Dunia 2025
- Legasi Olimpik Untungkan Masyarakat China: Bach
- Fasiliti Media Olimpik Musim Sejuk Beijing Diiktiraf Terbaik