- Lain-lain
Xi Terima Kunjungan PM Sepanyol
Presiden China, Xi Jinping telah menerima kunjungan Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez di Beijing pada petang semalam.
Xi terlebih dahulu meminta Pedro Sanchez menyampaikan salamnya kepada Raja Sepanyol Felipe VI.
"Tahun depan ulang tahun ke-20 Perkongsian Strategik Komprehensif China-Sepanyol. Sehubungan itu, kedua-dua pihak perlu terus membentuk hubungan yang stabil untuk jangka masa panjang dan berusaha melonjakkannya ke tahap yang lebih tinggi," kata Xi.
"Kedua-dua pihak perlu mendorong pembangunan yang berorientasikan sama untung dan sama menang dalam bidang AI, ekonomi digital dan sumber tenaga boleh baharu, dengan memanfaatkan pelbagai jawatankuasa yang sedia ada yang terkait dengan urusan ekonomi dan perdagangan serta sains teknologi.
"Sepanyol diharap terus memberikan layanan perniagaan yang adil, sama rata, selamat dan tanpa diskriminasi kepada syarikat China yang melabur di negaranya. Selain itu, kedua-dua pihak perlu meningkatkan interaksi dan pertukaran dalam bidang pendidikan bahasa, golongan belia, kebudayaan dan pelancongan yang dipercayai boleh menyuburkan persahabatan dalam kalangan rakyat," ujar Xi.
"China menghargai usaha Sepanyol yang mendorong kerjasama dan interaksi China-Eropah semasa menyandang jawatan negara pengerusi bergilir Kesatuan Eropah (EU).
"Tahun depan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik China-EU. Sepanyol diharapkan terus memainkan peranan yang bersifat membina dalam mendorong hubungan China-EU berkembang ke arah yang berdikari, sama menang dan holistik dalam senario global," tambah beliau.
Sementara itu, PM Sanchez yang berada dalam jadual lawatan rasmi di China pula menyampaikan salam ikhlas daripada Raja Felipe VI kepada Presiden Xi.
Menurut Sanchez, pihaknya melihat hubungan dengan China dari sudut strategik, konsisten dalam mengamalkan dasar Satu China, bersedia terus menambah elemen baharu ke Perkongsian Strategik Komprehensif Sepanyol-China supaya dapat memberi sumbangan lebih besar bagi manfaat rakyat, keamanan dan kemakmuran dunia.
"Sepanyol menyokong perdagangan bebas dan prinsip pasaran yang terbuka, dan tidak menyokong 'perang perdaganga'. Oleh itu, kami bersedia terus memainkan peranan proaktif bagi mendorong hubungan Eropah-China berkembang dengan sihat," kata Sanchez.
Kedua-dua pihak juga bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu lain seperti krisis Ukraine dan konflik Palestin-Israel.