- Lain-lain
Xi Hadir Pertemuan Pemimpin China, Rusia dan Mongolia (2)
Presiden China, Xi Jinping menghadiri pertemuan keenam pemimpin China, Rusia dan Mongolia di Samarkand pada petang Khamis.
Xi dalam pertemuan itu berkata walaupun terkena impak akibat wabak COVID-19, namun kerjasama antara ketiga-tiga negara tidak pernah berhenti, malah mencapai hasil yang patut dihargai.
Beliau menyarankan ketiga-tiga negara memegang teguh hala tuju kerjasama yang betul, memperdalam kesalingpercayaan politik, menghormati kepentingan teras satu sama lain dan memperkasa sinergi dalam isu antarabangsa dan serantau.
Selain itu, tiga negara itu juga diharap mengintensifkan kerjasama dalam kerangka Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO), melaksanakan dengan baik konsensus berkaitan pembangunan Koridor Ekonomi China-Mongolia-Rusia dan meneroka potensi kerjasama baharu.
Kata beliau, China menyokong pembayaran menggunakan mata wang tempatan bagi aktiviti perdagangan antara satu sama lain, dan mengalu-alukan lebih banyak institusi kewangan dari Rusia dan Mongolia menyertai sistem pembayaran rentas sempadan dengan renminbin (RMB).
Presiden Rusia, Vladimir Putin berkata, ketiga-tiga negara perlu saling menyokong dan memperkukuh kerjasama secara menyeluruh.
Beliau menggalakkan usahawan tiga negara meningkatkan pertukaran dan kerjasama bagi membuahkan lebih banyak hasil substantif dalam kerjasama pelbagai bidang termasuk pengangkutan, logistik, tenaga, teknologi tinggi, pelancongan dan sosiobudaya.
Presiden Mongolia, Ukhnaa Khurelsukh pula berkata, peningkatan kerjasama antara tiga negara amat signifikan tatkala berdepan situasi antarabangsa yang rumit ketika ini.
Mongolia bersedia memperkasa koordinasi dengan China dan Rusia, di samping memacu kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, alam sekitar, sumber tenaga, landasan kereta api, pelancongan dan sebagainya.