- Lain-lain
China, EU Bersedia Perkasa Kerjasama Bilateral (2)
Presiden China Xi Jinping berkata China komited meningkatkan komunikasi dan penyelarasan strategik dengan Kesatuan Eropah (EU) bagi mendorong perkembangan perkongsian strategik komprehensi China-EU yang stabil dan mantap.
Ketika mengadakan perbincangan dengan Presiden Majlis Eropah, Charles Michel di Beijing semalam, Presiden Xi berkata, mantan Presiden China Jiang Zemin baru meninggal dunia. Dalam tempoh perkhidmatannya sebagai Presiden China pada masa dahulu, mendiang Jiang yang sangat peka akan perkembangan hubungan China-Eropah, pernah giat mengekalkan pertukaran erat dengan pemimpin EU dan negara Eropah, dan menggalakkan pembentukan mekanisme pertemuan pemimpin China-EU bagi mempergiat dialog dan kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang.
"China akan terus memperkukuh hubungan bilateral dengan EU," kata Xi.
Presiden Xi turut mencadangkan kedua-dua pihak terus mengamalkan nilai-nilai yang betul, menangani percanggahan dengan baik, menjalankan kerjasama bertahap lebih tinggi dan meningkatkan penyelarasan dan kerjasama dalam hal ehwal antarabangsa.
Charles Michel pula mewakili EU untuk menzahirkan rasa duka cita atas pemergian mendiang Jiang Zemin. Beliau menyifatkan China yang tidak bertindak agresif di pentas dunia sebagai rakan penting EU dalam usaha memelihara prinsip Piagam PBB dan menyokong amalan multilateralisme.
“EU berpegang kepada prinsip ‘Satu China’, menghormati kedaulatan dan keutuhan wilayah China dan tidak akan mencampuri urusan dalaman negaranya,” kata beliau.
Charles Michel juga menegaskan pihaknya bersedia menjadi rakan kerjasama China yang dapat dipercayai dan dijangkakan.
“EU bersedia bekerjasama dengan China untuk mendorong proses Perjanjian Komprehensif Pelaburan (CAI) EU-China maju terus, memupuk rasa saling percaya dalam bidang rantaian bekalan bagi memperkasa kerjasama bilateral yang sama menang dalam pelbagai bidang,” kata beliau.
Ketika menyebut tentang krisis Ukraine, Xi menegaskan penyelesaian krisis tersebut secara politik selari dengan kepentingan Eropah dan semua negara benua Eurasia. China bersikap konsisten dalam memelihara kedamaian dan terus memainkan peranan membina dalam menangani isu tersebut.