- Lain-lain
HSR Alp Pertama Dunia Genap Sepuluh Tahun
Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Harbin-Dalian, iaitu HSR pertama dunia yang beroperasi di kawasan alp, bakal menyambut ulang tahun kesepuluhnya pada 10 Disember ini. HSR itu, dengan aliran penumpang paling tinggi, merupakan HSR yang paling sibuk dan paling panjang di kawasan alp China. Dalam sedekad sejak pembukaannya, seramai 670 juta penumpang telah dibawa dengan selamat.
Ketebalan maksimum litupan salji di sepanjang landasan mencecah 30 sentimeter, manakala kedalaman tanah beku pada musim sejuk melebihi 2 meter. Disebabkan lokasi geografi dan keadaan cuaca yang mencabar, ramai yang dahulunya menganggap mustahil untuk membina landasan HSR di tempat ini.
Tanpa pengalaman yang boleh ditimba, China Railway Harbin Group menerusi penyelidikan dan inovasi selama bertahun-tahun, mencapai kejayaan cemerlang dalam teknologi pembinaan landasan, pembuatan peralatan dan pengurusan operasi. Begitulah HSR alp pertama di dunia dengan kelajuan 300 km/j dapat beroperasi dengan lancar sampai masa ini.
HSR Harbin-Dalian menghubungkan sepuluh bandar di tiga provinsi timur laut China, meliputi separuh daripada populasi kawasan tersebut. Limpahan manfaat turut dinikmati di bandar-bandar sepanjang landasan, apabila operasinya mempergiat kesalinghubungan dari segi tenaga manusia, teknologi, modal dan informasi, sekali gus memacu pembangunan pesat sektor pelancongan yang juga menjadi penyumbang penting dalam pembangunan berkualiti sosioekonomi.