- Lain-lain
Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing Beri Manfaat Sosial dan Ekonomi Berterusan: IOC (2)
Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada Rabu menerbitkan artikel yang memberikan penilaian positif terhadap hasil pencapaian Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing serta pengaruhnya.
Menurut IOC, meskipun sudah hampir setahun berlalu sejak temasya sukan itu berakhir di Beijing, namun semua gelanggang untuk temasya itu dibuka untuk penggunaan orang awam dan atlet sukan tempatan.
IOC berkata, temasya sukan yang berjaya menarik penglibatan kira-kira 346 juta orang China itu membolehkan industri sukan musim sejuk di China berkembang pesat berikutan, sekali gus mendatangkan faedah sosial dan ekonomi yang luas dan mampan kepada rakyat China.
Pada masa sama, Institut Pengajian Pelancongan China turut meramalkan bahawa pelancong yang melibatkan industri pelancongan musim sejuk China dijangka akan melebihi 520 juta dan pendapatan industri itu akan mencecah RMB720 bilion (RM455 bilion) dalam tempoh musim ais dan salji pada tahun 2024 hingga 2025.
Untuk rekod, susulan penularan wabak COVID-19, orang ramai hanya dapat menonton pertandingan Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing secara jarak jauh ketika berlangsungnya temasya sukan itu pada tahun lalu.
Namun, dengan adanya teknologi canggih dan inovasi teknologi digital, seramai 2.01 bilion orang dapat menonton Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing melalui TV dan platform digital, secara tidak langsung menyaksikan jumlah penonton meningkat 5% berbanding temasya itu di Pyeongchang pada tahun 2018.
Pengarah Eksekutif IOC, Christophe Dubi menyatakan bahawa temasya sukan Beijing telah membawa faedah kepada rakyat China dan penggunaan teknologi inovatif telah memastikan pengaruh Sukan Olimpik terhadap persekitaran diminimumkan.
“Misalnya, penggunaan kenderaan jimat tenaga dalam temasya sukan Beijing menempati 85%, dan sistem penyejukan karbon dioksida yang digunakan pertama kali dalam Sukan Olimpik dengan teknologi pengurangan pelepasan karbon telah membuat pelepasan di gelanggang berkenaan hampir sifar,” ujarnya.
Turut difahamkan, daripada 2,834 atlet yang beraksi di Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing, 45.4% daripadanya merupakan atlet perempuan dan kadar itu adalah yang tertinggi dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk yang sebelumnya.
Selain itu, acara perempuan yang ditawarkan sebanyak 46 kategori di temasya sukan di Beijing juga mencipta rekod dalam sejarah.