- Lain-lain
Trend ‘Sukan Wanita’ Luaskan Pintu Niaga untuk Jenama
Ketara cergasnya tenaga orang muda, Hu Rongfeng yang belajar sosiologi tahun akhir di sebuah universiti terkemuka Beijing mengundang rasa kagum dengan liuk lentok tarian jaz dan juga gerak-geri tarian bandar yang sudah sinonim dengan kumpulan-kumpulan K-pop wanita.
Nama pemudi ini mula menjadi sebut-sebutan berikutan video pendek tarian jalanan yang dimuat naik olehnya ke platform media sosial.
Dalam video itu, Hu dan seorang kawan dari komuniti tarian jalanan mempersembahkan gerakan-gerakan yang cukup mengagumkan, dengan niat mempelopori usaha membudayakan tarian jalanan sebagai aktiviti arus kampus.
Pada tahun 2020, mereka merebut peluang untuk membuat persembahan semasa pusingan akhir pertandingan bola keranjang universiti.
“Usaha kami berjaya. Siswa dan siswi semuanya suka melihat persembahan kami. Sejak itu, kami sudah jadi acara tetap dalam semua pertandingan sukan di universiti,” kenang Hu.
Kepopularan muzik K-pop dan hip-hop, sekali dengan koreografi yang membolehkan setiap penari menjadi tumpuan perhatian, segera melonjakkan populariti seni moden ini di kampus. Hu yang rambutnya panjang dan diwarnakan, yang juga mengenakan sweater longgar dan kasut sukan Nike Air Force 1, menganggap daya penarik tarian jalanan letaknya pada rasa kekitaan yang kuat dan sifatnya sebagai satu bentuk senaman yang bagus.
“Seseorang itu tak perlu kuat dan tangkas untuk belajar tarian jalanan. Dia boleh mula tanpa sebarang asas dan masih boleh menjadi mahir. Banyak jenis sukan sudah menjadi sebahagian kehidupan sehari-hari di universiti, seperti permainan frisbee, tarian jalanan atau roller-blade,” tambah Hu.
Dewasa ini, semakin ramai pemudi yang bersenam untuk mengekalkan kesihatan dan ada kalanya menunjukkan gerakan tarian yang mengagumkan di Internet, bukan sekadar untuk mengurangkan berat badan, ujarnya lagi.
Hu salah seorang daripada pemudi China yang bilangannya kian hari kian bertambah, yang telah menerima aktiviti-aktiviti sukan baharu sebagai cara untuk bersenam dan bersosial.
Sarah Shao, seorang jurulatih veteran di satu rangkaian gim di Beijing, menyatakan bahawa dalam tempoh tiga tahun lalu, makin ramai wanita yang mengambil berat akan kesihatan diri, hasil galakan daripada limpahan maklumat yang diperoleh menerusi media sosial, selain pengalaman sahabat handai.
Latihan seperti tinju, yoga, angkat berat, serta latih tubi keseimbangan dan kestabilan yang paling popular, maklum Shao.
“Orang perempuan datang ke gim demi paras rupa dan keyakinan diri. Mereka melihat latihan kesihatan sebagai pelaburan yang baik serta gaya hidup yang sihat,” katanya.
Menurut laporan kesihatan wanita yang diterbitkan Leoao, sebuah rangkaian gim berpangkalan di Hangzhou, provinsi Zhejiang yang mempunyai lebih 1,000 cawangan di serata negara, 54 peratus daripada keseluruhan ahlinya adalah wanita.
Penglibatan wanita lebih tinggi di Beijing, diikuti Changsha di provinsi Hunan, dan Shanghai, yang menyaksikan peminat senaman hadir ke gim tiga hingga empat kali seminggu. Pada puratanya, mereka menghabiskan masa sejam bersenam hingga bermandi peluh.
Laporan oleh McKinsey & Company pula menyebut adanya peningkatan dalam permintaan terhadap produk sukan dan kesihatan daripada wanita-wanita China. Dapatan mereka menganggarkan wanita di seluruh negara berbelanja 15 hingga 20 peratus lebih banyak daripada lelaki.
Menyedari trend ini, gergasi pengeluar pakaian sukan Nike Inc telah melipatgandakan pelaburannya dalam sektor kesihatan fizikal wanita, memperlihatkan komitmen nyata terhadap produk dan perkhidmatan inovatif yang menyasarkan pasaran China.
Dari segi penyelidikan dan pembangunan, Nike telah menyalurkan lebih banyak sumber kepada makmal penyelidikannya untuk sains sukan berfokuskan wanita dan menggandakan jumlah sains sukan yang berkaitan. Syarikat gergasi itu juga mengambil langkah memperluas kerjasama dengan atlet-atlet wanita unggul termasuklah pasukan bola sepak wanita negara China tahun ini.
Anggota pasukan bola sepak wanita negara China berlatih di Shanghai pada bulan Mei. (Foto/Xinhua)
Faktor-faktor yang membawa kepada perubahan fokus daripada produk-produk yang didominasi pengguna lelaki adalah peningkatan tahap kesedaran peserta wanita dalam bidang sukan, selain hasrat mereka untuk berkongsi pengalaman-pengalaman bersenam menerusi Internet, kata Adam Zhang, pengasas Key-Solution Sports Consulting.
Trend “Sukan Wanita” ketara hangatnya dalam pasaran pakaian sukan dan kesihatan di China, dipacu lagi oleh kuasa beli pengguna domestik yang semakin tinggi, sejajar dengan kesedaran mereka terhadap perkaitan kesihatan dengan senaman dan sukan, jelas Zhang.
“Sukan dan kesihatan sudah menjadi mata wang sosial dalam golongan berpendapatan sederhana di China. Kaum wanita telah berjaya mencuri perhatian pengeluar dan jenama pakaian sukan,” ujarnya.
Media sosial yang berfungsi sebagai platform untuk wanita berkongsi sukan-sukan kegemaran dan susuk badan yang semakin sihat sewaktu sesi senaman, memainkan peranan penting dalam meluaskan skala produk sukan wanita dan sebagainya.
Inovasi dalam sektor pakaian sukan dan kesihatan meledak dalam tahun-tahun kebelakangan ini, khususnya produk dan perkhidmatan yang direka dan dibangunkan khas untuk wanita, dan bukan hanya disesuaikan daripada produk untuk lelaki.
Sebagai contoh, terdapat gim yang disesuaikan untuk wanita, yang mana pengguna wanitanya dapat memanfaatkan lebih banyak perkhidmatan dan peralatan yang lebih tepat dengan keperluan wanita serta rekaan dalaman yang mampu memenuhi nila estetika mereka, kata Zhang.
Bagaimana dapat menarik minat para wanita yang gemar bersenam amat penting bagi jenama-jenama pakaian sukan dalam kempen pemasaran masing-masing.
“Bagi wanita, mereka mementingkan perasaan sendiri terhadap rekaan dan fungsi sesuatu produk sewaktu mencuba, dan bukannya terus bergantung pada maklumat yang disediakan,” Zhang menjelaskan.
Jenama seharusnya terus menggalakkan inovasi yang mengambil kira tubuh badan wanita ketika menentukan ciri-ciri sesuatu produk misalnya warna, bahan dan gaya. Namun pada pandangan Zhang, yang benar-benar penting sekiranya hendak membangunkan produk yang unggul ialah memahami wanita.
“Mendengar, mempertimbangkan keperluan dan mengenali komuniti, dengan cara inilah dapat pemikiran yang sedia ada diluaskan dan lebih banyak produk cemerlang dihasilkan,” katanya.