- Lain-lain
WTO Keluarkan Laporan tentang Kes AS Tambah Tarif Produk Keluli
China sedang menyelidik laporan kumpulan pakar dari Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) mengenai pertelingkahan perdagangan dan akan bertindak selanjutnya mengikut peraturan berkenaan.
Demikian dinyatakan penanggungjawab Jabatan Peraturan dan Perundangan Kementerian Perdagangan China semalam susulan WTO mengeluarkan satu laporan kumpulan pakar berhubung dakwaan Amerika Syarikat (AS) mengenai tindakan balas China menyasarkan tarif tambahan yang dikenakan AS terhadap produk keluli dan aluminum importnya.
Menurut penanggungjawab itu, pertelingkahan perdagangan terbabit berpunca dari amalan unilateralisme dan amalan perlindungan perdagangan AS. Tindakan balas yang diambil Beijing adalah untuk memelihara hak dan kepentingan sendiri. Sejak Mac 2018, AS yang membesar-besarkan konsep 'keselamatan wilayah', memilih mengenakan tarif tambahan terhadap produk keluli dan aluminum yang diimport dari sejumlah negara anggota WTO.
Pada Disember 2022, langkah Washington itu diadili WTO melanggar peraturan terbabit. Bagaimanapun, Washington berdegil menghalang penguatkuasaan keputusan kumpulan pakar WTO, mengelakkan diri daripada melaksanakan kewajipan, dan menolak membatalkan pelaksanaan tarif tambahan itu.
Sehubungan itu, Beijing mendesak Washington bertindak sejajar dengan negara anggota lain dalam memelihara sistem perdagangan multilateral yang berdasarkan peraturan.