- Lain-lain
“Eksport Produk Hijau China Mudaratkan Ekonomi Negara Lain?” Tak Masuk Akal!
Baru-baru ini, sesetengah pihak di Amerika Syarikat lantang bersuara tentang “l(fā)ebihan kapasiti” China dalam tenaga baharu. Mereka mendakwa bahawa “China mempunyai lebihan kapasiti dalam ‘tiga tonggak baharu’, yang dapat dilihat dalam kenderaan tenaga baharu, bateri litium dan produk fotovolta. Untuk menyerap lebihan kapasiti pengeluaran, eksport berskala besar China telah memesongkan pasaran dan menjejaskan ekonomi negara lain."
Apakah fakta sebenar?
Dari 15 hingga 19 April, fasa pertama Canton Fair ke-135 dengan tema "Pengilangan Termaju" diadakan dengan jayanya. Kenderaan tenaga baharu dan kawasan pameran pelancongan pintar telah menarik minat ramai.
“Kenderaan tenaga baharu telah menjadi trend global, dan China ialah peneraju global dalam bidang kenderaan tenaga baharu. Justeru, kami berharap dapat membeli lebih banyak produk kenderaan tenaga baharu di sini,” ujar seorang pengimport dari Eropah.
“Seluruh dunia berminat dengan teknologi hijau China,” kata pengimport Amerika Steven Selikoff pula, yang terus terang menzahirkan hasratnya untuk mencari peluang perniagaan di China.
Sehingga 19 April, seramai 125,440 orang pembeli asing dari 212 negara dan wilayah di seluruh dunia telah mengambil bahagian dalam persidangan di luar talian, peningkatan sebanyak 23.2% berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Antaranya, 22,694 adalah pembeli dari Eropah dan Amerika, menyumbang 18.1%.
Dari satu sisi, sesetengah orang dari negara yang berkaitan mendakwa bahawa “l(fā)ebihan kapasiti hijau China memudaratkan ekonomi negara lain”, manakala dari sisi lain, fakta menunjukkan bahawa “seluruh dunia berminat dengan teknologi hijau China.” Perbezaan fakta antara kedua-duanya adalah jelas dan kebenarannya terbukti dengan sendirinya.
Lebihan kapasiti bermakna bekalan pasaran melebihi permintaan. Tetapi sebenarnya, dari perspektif trend pembangunan global, apabila kesan perubahan iklim semakin meningkat, banyak negara giat meneroka laluan pembangunan hijau dan rendah karbon. Lebih daripada 130 negara telah mengumumkan matlamat untuk mencapai pelepasan sifar bersih pada pertengahan abad ke-21. Perdagangan hijau akan menjadi perangsang baru pertumbuhan perdagangan global.
Menurut anggaran Agensi Tenaga Antarabangsa, permintaan global untuk kenderaan tenaga baharu akan mencecah 45 juta unit pada tahun 2030, lebih empat kali ganda daripada 2020. Permintaan global untuk kapasiti terpasang fotovolta baharu pula akan mencapai 820 GW, kira-kira empat kali ganda berbanding 2022.
Dengan kata lain, kapasiti pengeluaran hijau semasa bukanlah lebihan, tetapi kekurangan yang serius.
Mari kita lihat dari perspektif hukum ekonomi. Mengikut teori kelebihan bandingan, jika sesebuah negara dapat mengeluarkan produk tertentu pada kos yang lebih rendah, negara lain tidak seharusnya menetapkan halangan tarif. Sebaliknya, mereka harus mengimport produk ini dan mengeksport produk yang merupakan kekuatan mereka.
Di China hari ini, membangunkan industri hijau dan mengembangkan perdagangan hijau adalah pilihan yang mematuhi trend pembangunan global. Produk seperti fotovolta, bateri litium dan kenderaan tenaga baharu sememangnya telah membentuk kelebihan daya saing tertentu dalam pasaran global. Ini akan membantu negara-negara di dunia melaksanakan Agenda 2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pembangunan Mampan serta matlamat Perjanjian Paris mengenai perubahan iklim.
Sumbangan projek hijau China kepada ekonomi dunia adalah ketara. Berlatarbelakangkan pertumbuhan ekonomi dunia yang lembap dan inflasi yang tinggi, China telah memanfaatkan sepenuhnya kelebihan yang dimiliki dengan adanya rantaian industri yang lengkap untuk menyediakan dunia dengan produk hijau yang diwakili oleh "tiga tonggak baharu" yang berkualiti tinggi, berkecekapan tinggi dan pada harga yang berpatutan. Ia bukan sahaja mengurangkan tekanan inflasi global, tetapi juga menyediakan sokongan padu untuk kestabilan rantaian industri dan bekalan global.
Mari kita lihat satu set data:
Pada tahun 2023, kapasiti terpasang tenaga boleh baharu di dunia bertambah sebanyak 510 juta kilowatt, dengan China menyumbang lebih daripada separuh produk tenaga bersih berkualiti tinggi yang dieksport ke lebih 200 negara dan wilayah.
China juga menjalinkan kerjasama tenaga hijau dengan lebih 100 negara dan wilayah, membolehkan masalah penggunaan elektrik yang sukar dan mahal di tempat-tempat berkaitan diselesaikan dengan tuntas menerusi sinergi serantau.
Laporan Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (IRENA) menunjukkan bahawa dalam sepuluh tahun yang lalu, purata LCOE tenaga angin global dan projek penjanaan kuasa fotovolta masing-masing menurun lebih daripada 60% dan 80%. Sebahagian besarnya adalah disebabkan oleh inovasi China, pembuatan China, serta kejuruteraan China.
Oliver Haunch, rakan kongsi di firma perakaunan British Grant Thornton terus terang berkata, “Produk China membawa peluang besar kepada pasaran global, bukannya ancaman. Seluruh dunia berkongsi dividen pasaran yang dibawa oleh pembangunan hijau China.”
Selama bertahun-tahun, daripada “teori ancaman China” kepada “teori kejutan China” kepada “teori lebihan kapasiti”, sesetengah pihak terus-menerus mengeluarkan variasi “naratif ancaman China”. Tidak dapat disangkal lagi, hujah-hujah tersebut mempolitikkan isu ekonomi dan perdagangan, mewujudkan sekatan perdagangan, dan memesongkan aturan pasaran. ‘Taktik-taktik’ tersebut tidak kondusif untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran, dan juga tidak kondusif kepada pengguna domestik dan global.
Intelektual antarabangsa menegaskan bahawa “teori lebihan kapasiti” adalah alasan pengamal fahaman perlindungan, dan hujah ini mempunyai potensi mengancam perdagangan global. Tujuannya adalah untuk mengekang pembangunan saintifik dan teknologi serta peningkatan industri negara-negara membangun termasuk China. Mereka juga ingin mengekalkan hegemoni ekonomi global negara-negara berkaitan melalui cara yang tidak adil.
Keterbukaan membawa kemajuan, manakala ketertutupan pasti membawa kepada kemunduran. “Laporan Kerja Kerajaan” China tahun ini sekali lagi menekankan bahawa “pembaharuan dan keterbukaan mesti diperdalam dengan keazaman dan intensiti yang lebih besar.” China yang membangun secara mampan dan lebih terbuka pastinya akan membawa lebih banyak peluang pembangunan kepada dunia. Hanya apabila semua negara di dunia bekerjasama, kita boleh menyanyikan simfoni harmoni pembangunan bersama untuk seluruh umat manusia.