- Lain-lain
China, Serbia Tingkatkan Perkongsian Strategik Komprehensif
Presiden China, Xi Jinping bertemu dengan rakan sejawatnya dari Serbia, Aleksandar Vucic di Belgrade pada Rabu.
Pemimpin kedua-dua negara mengumumkan untuk meningkatkan perkongsian strategik komprehensif China-Serbia, dan membina komuniti berkongsi nasib China-Serbia bagi era baharu.
Xi berkata, Serbia ialah rakan strategik komprehensif pertama China dari Eropah Tengah dan Timur.
"Sejak jalinan hubungan perkongsian strategik komprehensif kedua-dua negara pada tahun 2016, hubungan dua hala semakin rapat dan menjadi teladan bagi persahabatan China dengan negara-negara Eropah," kata Xi.
Beliau menegaskan bahawa kedua-dua negara harus memperkasakan pembinaan bersama Jalur dan Laluan (BRI), serta kerjasama China dengan negara Eropah Tengah dan Timur melalui pembinaan komuniti berkongsi nasib China-Serbia bagi era baharu, mempromosi modenisasi negara masing-masing.
Xi menyatakan, China menyokong Serbia menempuh jalan pembangunan yang bebas dan bersesuaian dengan keadaan sendiri, menyokong usaha Serbia dalam memelihara kedaulatan dan keutuhan wilayah.
Beliau berkata, kedua-dua negara harus memperkasakan kerjasama pragmatik demi memberikan kebaikan kepada rakyat.
"Kita harus meningkatkan kerjasama dalam sektor konvensional seperti infrastruktur pengangkutan dan tenaga, merealisasikan sasaran pembukaan landasan kereta api Hungary-Serbia seksyen Serbia menurut jadual.
"Perjanjian Perdagangan Bebas China-Serbia bakal dikuatkuasakan bermula 1 Julai nanti, dan ia pasti akan melonjakkan kesalingterbukaan bertaraf tinggi antara China dan Serbia ke tahap baharu," kata Xi.
Sementara itu, menurut Xi, kedua-dua negara harus membuka prospek kerjasama yang baharu.
"Seramai 50 orang ahli sains muda dari Serbia akan dijemput ke China untuk mengikuti projek penyelidikan dan sesi pertukaran dalam tiga tahun akan datang.
"Di samping itu, China bersedia meningkatkan kerjasama dengan Serbia dalam bidang kecerdasan buatan (AI), menggalakkan pembangunan dan penggunaan AI secara rasional oleh seluruh umat manusia," kata Xi.
Vucic pula menyatakan bahawa pelaburan dan kerjasama dari China banyak mendorong pembangunan sosioekonomi Serbia, sekali gus meningkatkan taraf hidup rakyatnya.
Beliau menegaskan bahawa Serbia menyokong teguh dan akan aktif terlibat dalam Inisiatif Pembangunan Global (GDI), Inisiatif Keselamatan Global (GSI) dan Inisiatif Peradaban Global (GCI) yang dikemukakan Presiden Xi Jinping.
"Kami akan meningkatkan koordinasi strategik pelbagai hala dengan China, bersama-sama menentang hegemoni, memelihara prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan mempertahankan keadilan dan kesaksamaan antarabangsa," kata Vucic.
- Masa Depan Ikatan China-Serbia Kelihatan Semakin Cerah
- Xi Hadiri Majlis Jamuan Alu-aluan di Belgrade
- Enam Langkah bagi Pembinaan Komuniti Berkongsi Nasib China-Serbia untuk Fasa Pertama
- Xi dan Vucic Bertemu dengan Wartawan
- Xi, Vucic Adakan Rundingan di Belgrade
- Presiden Xi Tiba di Belgrade
- Xi Sampai Ucapan Bertulis Sejurus Tiba di Belgrade
- Suburkan Persahabatan dalam Kerjasama China-Serbia
- Merungkai Faktor ‘Persahabatan Berperisai Besi' China-Serbia
- Animasi, Wadah Pererat Persahabatan China-Serbia