- Lain-lain
Pengerusi Bosch: Transformasi China dari Pasaran Pengguna kepada Hab Inovasi
Pengerusi Robert Bosch GmbH, Stefan Hartung ketika diwawancara semasa Pameran Perdagangan Automotif Antarabangsa (IAA) Pengangkutan 2024 di Hannover, Jerman pada 16 September 2024. (Xinhua/Jia Jinming)
Pengerusi Robert Bosch GmbH, Stefan Hartung menyifatkan China sebagai sedang mengalami transformasi daripada pasaran pengguna kepada satu pusat ilmu dan inovasi, lapor agensi berita Xinhua.
Beliau yang diwawancara semasa Pameran Perdagangan Automotif Antarabangsa (IAA) Pengangkutan 2024 di Hannover, Jerman baru-baru ini turut menekankan kemajuan mantap China dalam mengembangkan keupayaan pengeluarannya dan peranannya yang semakin meningkat dalam inovasi global.
Jelas Hartung, Bosch mempunyai perancangan untuk terus membuat pelaburan jangka panjang di China bagi memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat.
“China merupakan pasaran yang sangat penting untuk kami. Kami telah mencapai kejayaan yang signifikan dan pelaburan kami terus bertambah,” tambahnya sambil mengumumkan bahawa satu kilang baharu untuk komponen-komponen utama kenderaan tenaga baharu akan beroperasi.
Hartung turut menjangkakan bahawa kenderaan elektrik akan menjadi sebahagian penting kepada pasaran kereta penumpang pada dekad yang terusnya.
Beliau juga menekankan bahawa pelbagai teknologi rangkaian kuasa tidak seharusnya menjadi seteru, tetapi saling melengkapi menerusi penyelesaian terbaik berdasarkan keperluan masing-masing.
“Bosch komited untuk mempelbagaikan penawarannya, daripada sistem bateri kepada sistem sel bahan api dan teknologi berkuasa hidrogen,” ujar Hartung lagi.
Melihat kepada trend pertumbuhan kereta elektrik yang agak perlahan berbanding jangkaan awal meskipun pasaran automotif global terus mengekalkan kestabilan pada tahun ini, beliau menyeru pihak industri agar menyesuaikan semula strategi masing-masing.
Difahamkan, teknologi yang dipamerkan Bosch pada IAA Pengangkutan 2024 merupakan produk kolaborasi rapat antara Eropah dan China.
Pelawat mendekati traktor sel bahan api hidrogen di reruai Syarikat Kumpulan Shaanxi Autombile Holding (SHACMAN) semasa pratonton media semasa Pameran Perdagangan Automotif Antarabangsa (IAA) Pengangkutan 2024 di Hannover, Jerman pada 16 September 2024. (Xinhua/Ren Pengfei)
Hartung juga meletakkan harapan kepada usaha sama antarabangsa khususnya dalam teknologi hidrogen dan trak elektrik untuk menjadi pendahulu kepada penemuan-penemuan baharu.
Sebagai sebuah syarikat global, Bosch menyokong persekitaran persaingan yang seimbang dan adil dalam pasaran antarabangsa.
Hartung turut melaungkan peringatan bahawa tarif dan subsidi sebagai tindak balas kepada isu perdagangan boleh membawa kepada harga yang lebih tinggi dan ketidakstabilan dalam pasaran global.
Beliau juga menzahirkan harapan bahawa rundingan perdagangan antara China dan Kesatuan Eropah akan menyelesaikan isu tarif yang berterusan, seterusnya menekankan keperluan untuk perjanjian perdagangan.
Seorang pelawat sedang mencuba trak pikap elektrik di reruai pembuat kereta China, SAIC Maxus semasa pratonton media Pameran Perdagangan Automotif Antarabangsa (IAA) Pengangkutan 2024 di Hannover, Jerman pada 16 September 2024. (Xinhua/Ren Pengfei)
Memandang ke hadapan, Hartung menekankan bahawa liberalisasi perdagangan yang selanjutnya adalah kunci kepada pertumbuhan ekonomi global dan beliau turut yakin bahawa Bosch akan meraih manfaat sekiranya perdagangan antarabangsa dilakukan sebanyak mungkin dalam dekad akan datang.
Menurut beliau, komunikasi berterusan dan pertukaran bakat merentas sempadan, terutamanya dalam kalangan jurutera dan profesional teknikal turut memainkan peranan penting.
Untuk rekod, operasi penyelidikan dan pembangunan Bosch di China telah berkembang, dengan 58,000 pekerja, termasuk 10,000 jurutera dan penyelidik, sekali gus mencapai kejayaan dengan memanfaatkan bakat dan inovasi tempatan di China.
Hartung menyatakan bahawa China telah menjadi pusat inovasi global, memacu perubahan dalam elektrifikasi, mobiliti pintar, kecerdasan buatan, pendigitalan dan kecekapan tenaga.
Justeru, beliau melihat bahawa peralihan ke arah masa depan yang dipacu teknologi ini dikuasakan oleh kerjasama rentas sempadan adalah penting untuk China dan Eropah.
“Kerjasama antarabangsa yang lebih mendalam akan terus memacu inovasi dalam bidang utama ini, mengukuhkan status China sebagai pusat pembangunan teknologi global,” katanya.
- Syarikat Multinasional Nampak Potensi, Peluang Dalam Pasaran China
- Barangan Pengguna 200 Juta Jenis Lebih di China
- Pembeli Asing Diharap Perincikan Pelaksanaan Projek dalam Pasaran China: PM LI
- Institusi Kewangan Antarabangsa Optimistik Terhadap Pasaran China
- Makin Galak Berebut Masuk Pasaran China
- Pembangunan China Tidak Terhalang Akibat Gangguan AS dalam Bidang Teknologi dan Cukai
- Pasaran Penggunaan Rancak di China Semasa Cuti Panjang
- Konglomerat Kopi Indonesia Yakin Potensi Pasaran China
- Pasaran Penggunaan China Melonjak
- China Mahu Manfaatkan Kelebihan Pasaran Besar