- Lain-lain
Barista Costa Rica Bina Kerjaya di Jiangsu, China
Bazar LAC di Blok Huilongwo, bandar Xuzhou, provinsi Jiangsu. (People’s Daily Online/Zhou Mengjiao)
Gerai Nuwijk Coffee di bazar Amerika Latin dan Caribbean (LAC) di Xuzhou menjadi tumpuan rombongan peserta program pertukaran belia BRI di provinsi Jiangsu, dengan keharuman aroma produk mereka.
Diana, pengasas jenama Nuwijk Coffee, berasal dari Costa Rica, salah satu pengeluar kopi terbesar di dunia.
“Kampung halaman saya berada di kawasan pergunungan di altitud lebih 1,400 meter. Tanah subur yang berasid rendah, sinaran matahari yang cukup serta kekerapan hujan menjadikannya pengeluar kopi Arabika yang besar,” kata Diana.
Keluarganya mengusahakan kopi sejak 50 tahun yang lalu. Katanya, dia dibesarkan dengan dikelilingi aroma kopi.
“Di kampung saya, kopi adalah sumber rezeki para petani.”
Untuk mempromosikan kopi ke pasaran yang lebih luas, Diana menyasarkan pasaran China dan mengasaskan jenama sendiri pada tahun 2022. Dia menjadi wanita pertama dalam keluarganya yang menceburi pasaran antarabangsa.
Diana dapat mengatasi pelbagai halangan dengan bantuan konsulat dan kerajaan tempatan, dan berjaya mengembangkan jenamanya ke bandar-bandar China termasuk Beijing, Shenzhen, Sanya, dan juga Xuzhou.
Diana membancuh kopi. (People’s Daily Online/Zhou Mengjiao)
Manuel Bermudez Garcia, wartawan dari Costa Rica, yang juga anggota rombongan tersebut, teruja kerana dapat mencicipi kopi dari kampung halamannya. “Pertembungan ekonomi dan budaya China dan Costa Rica dapat diperlihat dalam kopi ini, cukup menyentuh hati,” katanya.
Selain daripada kopi Costa Rica, dapat lihat juga pelbagai produk LAC di bazar tersebut, termasuk coklat dari Brazil dan Ecuador, ametis dari Uruguay, daging lembu dan wain dari Chile serta pelbagai kraf tangan.
Untuk rekod, jumlah nilai import dan eksport antara bandar Xuzhou dengan LAC melebihi 14.5 bilion yuan pada 2023.
Wartawan Costa Rica mencicipi kopi dari kampung halamannya. (People’s Daily Online/Zhou Mengjiao)