- Lain-lain
Produk Halal Malaysia Berjaya Tembusi Pasaran e-Dagang Terkenal China
Jenama Halal Malaysia bersedia untuk menawarkan pelbagai rangkaian produk halal kepada lebih 1 bilion pengguna di China selepas berjaya menembusi platform e-dagang terkenal JD.com.
Pengarah Urusan HYT Cross Border Sdn Bhd, Datuk Danny Eng Tan Ching berkata pihaknya menyasarkan antara 380 hingga 400 produk halal akan dipasarkan dalam platform tersebut dengan nilai jualan kira-kira RM5 juta pada tempoh satu tahun pertama.
“Kita dah lancarkan Pavilion Halal Malaysia di JD.com, yang mana ia merupakan platform pertama berkaitan produk halal untuk eksport ke pasaran China secara dalam talian. Produk yang ada ialah makanan, kosmetik, penjagaan wajah. Kebanyakannya produk FnB dan FMCG.”
Dengan pelancaran Pavilion Halal Malaysia ini, sesiapa sahaja di China boleh mendapatkan produk halal Malaysia merentasi bandar dan wilayah di seluruh negara China.
Turut hadir menyaksikan pelancaran Pavilion Halal Malaysia di JD.com ialah Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad.
Ketika ditanya mengenai harapan beliau terhadap produk-produk halal dari Malaysia yang akan dipasarkan secara dalam talian di China, Datuk Danny berkata beliau yakin produk tersebut akan diterima dengan baik rakyat China kerana produk halal Malaysia dikenali di seluruh dunia ekoran faktor kualiti, kebersihan dan keselamatan.
“Pengiktirafan halal ini dikenali di seluruh dunia dan kita promosi produk halal di China sebab ia bersih dan selamat, juga sangat penting untuk pengguna terutamanya pasaran China sebab mereka suka produk import. Kita juga beritahu mereka bahawa produk halal mempunyai peringkat tertinggi dalam bahan dan kawalan keselamatan makanan.”
Kajian pasaran terkini menunjukkan terdapat permintaan yang tinggi terhadap makanan dan barangan halal di China. Justeru Malaysia yang merupakan peneraju dalam produk halal diiktiraf global, berada di landasan terbaik untuk memenuhi permintaan tinggi di China.
Kerjasama strategik antara HYT dan JD.com akan membuka laluan rentas sempadan baharu dan peluang kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (MSME) Malaysia dalam memasarkan produk halal mereka ke pasaran China.