- Lain-lain
Jurugambar Temu Kegembiraan Dalam Malam Nan Gelap (2)
Angel An. (foto/China Daily)
Bertemu galaksi dan bintang
Ketika diwawancara China Daily, An berkata perjalanannya sebagai jurugambar astronomi bermula apabila beliau mengikuti program melihat bintang yang dianjurkan oleh dua jurugambar astronomi di Beijing.
Ketika menyertai program di pinggir Beijing itu, beliau buat pertama kali dalam hidupnya menyaksikan langit malam dengan begitu jelas, lantas mengambil gambar astro pertamanya, iaitu gambar jejak bintang.
Pada detik itu, beliau jatuh cinta dengan elemen-elemen seperti bintang, malam gelap dan astrofotografi.
"Menyaksikan galaksi pada malam yang gelap, saya merasakan diri saya sangat kecil seperti debu.
“Ia agak jauh tetapi begitu dekat. Tekanan yang saya rasai dari kerja juga reda," ujar An.
Beliau kemudiannya mula mendalami ilmu astrofoto yang betul menggunakan pelbagai kamera dan kanta, serta cara-cara memproses foto tersebut dengan perisian komputer yang rumit.
"Beberapa jenis perisian yang berbeza perlu digunakan untuk menyunting foto dengan baik, dan saya mengambil masa yang lama untuk menguasainya," kata An yang turut menyifatkan proses tersebut sebagai mengecewakan pada mulanya dan hampir menyerah kalah.
Sebagai seorang yang cepat belajar, beliau berjaya menguasai peralatan dan perisian tidak lama selepas itu, sementara kualiti fotonya juga bertambah baik. An menjadi salah seorang ahli pertama China StarVision Alliance, iaitu platform untuk hampir 1,000 jurugambar astronomi China dan perniagaan berkaitan dengan pelancongan langit gelap yang diasaskan pada 2020.
Di sepanjang pengembaraannya, beliau turut mengalami beberapa detik bahaya termasuk dikelilingi oleh anjing liar semasa mengambil gambar cahaya utara di Rusia; terjatuh dan hampir jatuh dari tebing semasa merakam hujan meteor di Scotland; keretanya terperangkap dalam salji tebal di Norway, dan dia terpaksa menunggu untuk diselamatkan. Lebih daripada itu, beliau juga pernah berhadapan dengan serigala semasa mengambil gambar sprite di Tibet.