- Lain-lain
Penstriman Langsung di Ladang Gandum Mudahkan Jualan Pertanian di Zhejiang (2)
Xie Chenhuan mempromosikan gandum menerusi penstriman langsung dari ladang gandum di Mayu, bandar Rui'an, provinsi Zhejiang timur China. (Foto ihsan orang awam) |
Ketika tempoh cuti panjang Hari Pekerja di China baru-baru ini, seorang petani iaitu Ye Xiuluan menganjurkan siaran langsung harian pada sebelah petang untuk menjual gandum yang baru dituai dan produk pertanian khusus dari ladang di Mayu yang terletak di bandar Rui'an, provinsi Zhejiang, timur China.
Dia yang dahulunya hanya salah seorang penonton strim langsung itu tidak pernah menjangka untuk menjadi pengacara bagi sesi penstriman langsungnya sendiri dengan menggunakan telefon bimbit.
Di seberang ladang gandum, terdapat seorang lagi pengacara siaran langsung berusia 49 tahun iaitu Xie Chenhuan yang mengendalikan sesi sedemikian. Meskipun perjalanan penstriman langsungnya hanya bermula pada 2022, namun dia kini sedang menguruskan tiga akaun strim langsung.
Difahamkan, kini terdapat 22 pengacara penstriman langsung sepenuh masa di platform perkhidmatan keusahawanan pertanian di Mayu.
Kawasan Tianjingyang di Mayu merangkumi kawasan seluas hampir 30,000 mu (2,000 hektar) dan mempunyai kapasiti pengeluaran bijirin tahunan sebanyak 30,000 tan.
Ketua platform perkhidmatan keusahawanan pertanian di Mayu, Zhuang Wenya berkata bahawa pasukannya telah meneroka strategi yang boleh meningkatkan jualan produk pertanian, dan menjadikan lebih banyak barangan sebagai pilihan popular, sekali gus meluaskan capaian pihaknya dalam pasaran itu.
Pada awal April, seorang petani gandum dari kawasan Tianjingyang turut meminta bantuan daripada Zhuang bagi mengembangkan saluran jualan untuk gandum dan meningkatkan rantaian perindustrian.
Selepas menyediakan perancangan rapi, Zhuang dan pasukannya membangunkan pelan bantuan yang melibatkan menggabungkan elemen penstriman langsung, pembelian berkelompok pada platform e-dagang dan memudahkan penghantaran terus produk dari tempat asalnya.
"Kami mempunyai pasukan mahir yang berpengalaman luas dalam mengacarakan penstriman langsung. Semasa penuaian gandum, kami memulakan penstriman langsung pada 20 April, dan pengacara kami telah bergilir-gilir menjalankan penstriman langsung selama lebih 10 hari," katanya.
Pada masa sama, Zhuang turut menekankan tentang kekurangan sekiranya hanya bergantung semata-mata pada promosi fizikal sahaja untuk menjangkau khalayak yang luas dengan memberitahu bahawa penstriman langsung menerusi telefon bimbit mampu mengembangkan saluran jualan dalam talian untuk produk pertanian.
Semasa berlangsungnya penstriman langsung, penduduk kampung berpeluang mempamerkan produk pertanian masing-masing, mendekati pengguna, serta membina kepercayaan jangka panjang, dan secara tidak lansung membawa kepada peningkatan pesanan.
Ini bukan sahaja meningkatkan reputasi produk pertanian khusus tempatan, tetapi juga merangsang perbelanjaan untuk budaya dan pelancongan di kawasan itu.
Rekod menunjukkan bahawa semasa cuti lima hari itu, Tianjingyang merekodkan hampir 10,000 kunjungan pelancong setiap hari. Melalui penstriman langsung, platform perkhidmatan meningkatkan jualan gandum tempatan sebanyak hampir 20,000 kilogram, dan menjana hasil jualan hampir RMB400,000 (AS$55,364) khusus untuk produk pertanian.