- Lain-lain
Daripada Teh Mutiara kepada Hubungan Perniagaan: ‘Cita Rasa’ Integrasi Perdagangan China-ASEAN
(Nota: Artikel dari Xinhua ini diterjemah dan disunting semula oleh People’s Daily Online)
Tidak jauh dari dewan pameran Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) 2024 yang berlangsung dengan penuh meriah, terdapat satu lagi senario penuh warna, iaitu festival teh susu yang membuat debut pada CAEXPO, yang menarik penyertaan lebih 100 jenama terkemuka tempatan dan antarabangsa.
Di situ, para peminat teh susu boleh menikmati pelbagai minuman teh sejuk yang digabungkan dengan limau Thai, teh buah yang dihasilkan dengan longan Kemboja, dan teh mutiara yang diperbuat daripada tepung ubi Vietnam.
Suasana meriah ini mencerminkan arena kerjasama ekonomi dan perdagangan yang aktif berkembang serta sedang diterokai oleh para pengusaha perniagaan China dan ASEAN.
Foto bertarikh 27 September 2024 ini menunjukkan suasana festival teh susu di Ekspo China-ASEAN di Nanning, Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, di selatan China. (Xinhua/Xu Yiying)
Daripada kopi kepada durian, daripada elektronik kepada industri berteknologi tinggi, pertukaran ekonomi antara China dengan negara-negara ASEAN semakin mendalam, dengan kerjasama merentas pelbagai sektor menjadi semakin kukuh.
Menelusuri jalanan di Nanning, ibu kota Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang di selatan China dan bandar tuan rumah CAEXPO, pemandangan manusia yang sedang menghirup teh susu daripada penyedut minuman yang dimasukkan ke dalam beg plastik boleh didapati di merata-rata tempat.
Trend tersebut yang diilhamkan oleh minuman teh susu bungkus di tepi jalan sekitar Thailand, turut memberi inspirasi kepada Zhang Guiwen untuk membina sebuah kedai teh susu ala Thai.
Menurut Zhang, kedainya dibanjiri oleh pesanan pada waktu makan tengahari dan pihaknya turut membuat persiapan awal dengan menyediakan beg kertas terlebih dahulu.
Ujar pengusaha teh susu itu lagi, pelanggan akan memilih minuman sejuk yang segar pada waktu siang, dengan minuman paling larisnya adalah teh susu Thai, teh limau jasmine, dan kopi ais Laos.
Kata Zhang, tatkala menghadapi saingat sengit dalam kalangan jenama minuman teh di pasaran domestik, minuman teh Thai dilihat mempunyai tarikan unik dengan penampilan pembungkusan dan perisa tersendiri.
Foto bertarikh 8 September 2023 ini menunjukkan sebuah kedai yang menjual minuman Asia Tenggara di Nanning, Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, di selatan China. (Xinhua/Hu Xingyu)
Dengan mempunyai sejarah perkongsian panjang dalam budaya minum teh dan gaya pemakanan yang serupa serta persamaan iklim panas dan lembap di selatan China dan negara-negara ASEAN, kedua-dua pihak menikmati peluang perniagaan yang besar.
Kini, jenama teh susu China yang terkemuka seperti Mixue, CHAGEE dan Naixue telah berjaya mendapat perhatian dalam pasaran negara ASEAN.
Misalnya, HEYTEA yang mempunyai lebih 4,000 kedai di seluruh dunia, telah melancarkan kedai luar negara pertamanya di Singapura pada 2018.
Pada Ogos lalu, Naixue pula membuka cawangan luar negara pertama di kompleks beli belah terkemuka di Bangkok, iaitu Central World, sekali gus mencetuskan suasana hiruk-pikuk dalam kalangan pengguna golongan muda.
Pegawai kanan Naixue, Zhang Yufeng turut menyifatkan pasaran Asia Tenggara sebagai sangat berpotensi. Difahamkan, Naixue juga mempunyai rancangan untuk memasuki pasaran Malaysia dan Indonesia dalam masa terdekat.
Seorang wanita melawat kedai teh susu China di Kaherah, Mesir, 23 Julai 2023. (Xinhua/Wang Dongzhen)
"Pertumbuhan ekonomi pesat negara-negara ASEAN, ditambah dengan populasi kira-kira 300 juta golongan muda (dilihat) mewujudkan pasaran yang luas yang penting untuk kejayaan pengembangan jenama teh susu China di luar negara," kata Lei Xiaohua, seorang penyelidik dengan Akademi Sains Sosial Guangxi.
Tambah Lei, jenama teh susu China mempunyai kelebihan teras dalam rantaian bekalan, penyelidikan dan pembangunan, bakat dan pengurusan, yang memastikan daya saing mereka yang kukuh di luar negara, sekali gus memudahkan lagi untuk menguasai bahagian pasaran dan merebut peluang perniagaan.
Memetik statistik yang dikeluarkan pada Persidangan Pemodanan & Pelaburan Pengeluaran dan Jualan mengenai Rantaian Bekalan Teh Gaya Baharu 2024 semasa CAEXPO, saiz pasaran minuman teh gaya baharu di China mencecah RMB193.3 bilion (kira-kira AS$27.6 bilion) pada 2023 iaitu peningkatan tahun ke tahun sebanyak 15.7 peratus.
Malah, angka itu difahamkan dijangka mampu meningkat dengan mencecah RMB250 bilion menjelang 2025.
Foto pelbagai jenis minuman teh semasa festival teh susu di Ekspo China-ASEAN di Nanning, Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, selatan China, pada 27 September 2024. (Xinhua/Guo Yifan)
Banyak pengusaha kedai teh ala Thai di Guangxi melaporkan bahawa ramuan minuman yang digunakan seperti teh hitam, santan, susu pekat dan kopi telah diimport dari negara ASEAN.
Untuk memenuhi keperluan "Gen Z" selaku pengguna utama teh susu, kedua-dua syarikat teh China dan ASEAN sentiasa berinovasi.
Hari ini, minuman teh susu telah berkembang jauh melangkaui mutiara ubi tradisional, dengan menampilkan pelbagai hiasan termasuk jeli berperisa, puding, kepingan buah-buahan, dan kekacang.
Sebagai wilayah pertanian utama dalam buah, gula, teh dan produk tenusu, Guangxi juga menikmati kelebihan geografi kerana berdekatan dengan negara Asia Tenggara.
Selain itu, ia adalah rumah kepada Youyiguan, salah satu pelabuhan import buah terbesar di China, di mana lebih separuh daripada buah-buahan ASEAN berkualiti tinggi, seperti durian dan manggis yang diimport.
Kakitangan kastam sedang memeriksa durian yang diimport di Pelabuhan Youyiguan di Bandar Pingxiang, Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, selatan China, 26 Ogos 2024. (Xinhua/Lu Boan)
Prosedur pelepasan kastam yang diperkemas, serta rangkaian logistik yang dipertingkatkan antara China dan ASEAN, termasuk Kereta Api China-Laos dan Koridor Perdagangan Darat-Laut Antarabangsa Baharu, kedua-dua projek Inisiatif Jalur dan Laluan itu telah menyediakan asas untuk penyepaduan yang mendalam terhadap perindustrian rentas sempadan dan rantai bekalan.
Kelebihan unik ini membantu Guangxi memupuk pertukaran rapat dalam minuman berasaskan teh antara China dan ASEAN.
Syarikat Guangxi State Farms Mingyang Starch Development, merupakan pengeluar kanji utama yang menghasilkan bahan teh susu seperti mutiara yang diperbuat daripada ubi.
Pengurus pusat pembelian syarikat itu, Zhao Jundan berkata bahawa kira-kira 90 peratus bahan mentah pihaknya diimport dari negara ASEAN.
Untuk rekod, subsidiari milik penuh syarikat itu di Vietnam mempunyai kira-kira 210 pekerja, termasuk 185 warga Vietnam.
"Perkembangan industri teh susu telah meningkatkan pekerjaan dan meningkatkan pendapatan petani tempatan di Vietnam, dan juga merangsang pemprosesan ubi di negara jiran seperti Laos, Myanmar dan Kemboja," tambah Zhao.
Naib Perdana Menteri China, Ding Xuexiang dalam ucapannya semasa majlis perasmian CAEXPO tahun ini bahawa China bersedia bekerjasama dengan ASEAN untuk memperdalam kerjasama praktikal dan menulis lembaran baharu dalam membina komuniti China-ASEAN yang lebih rapat dengan masa depan yang dikongsi bersama.
Data rasmi menunjukkan bahawa China kekal sebagai rakan dagang terbesar ASEAN selama 15 tahun berturut-turut. Dalam tujuh bulan pertama tahun ini, perdagangan dua hala mencapai AS$552 bilion, meningkat 7.7 peratus tahun ke tahun.
- 36 Jam, Durian Segar Dieksport Malaysia Boleh di Tangan Pengguna China
- Ekspo China-ASEAN ke-21 Buka Tirai di Nanning
- Dialog Kerajaan Malaysia, CEO China Diadakan di Nanning
- CAEXPO Cermin Keberhasilan Kerjasama China-ASEAN
- Naib PM China Rasmikan CAEXPO ke-21
- China Mahu Bersama ASEAN Optimumkan Peranan Platform CAEXPO
- Ding Xuexiang Bakal Hadir Perasmian CAEXPO ke-21
- Ekspo China-ASEAN ke-21 Bakal Dirasmikan 24 Sept
- Malaysia Jadi Negara Tetamu Kehormat CAEXPO ke-21
- UAE Rakan Kongsi Khas CAEXPO ke-21