- Lain-lain
Guru Fizik Tarik Minat Pelajar Dengan Cara Tersendiri
Hu Yongxiang (kedua dari kiri di podium) melihat pelajarnya memotong bawang semasa kelas fizik di Sekolah Menengah Ketiga Daerah Hongsibu, bandar Wuzhong, Wilayah Autonomi Hui Ningxia, barat daya China, 4 September 2024. (Xinhua/Ai Fumei)
Di atas pentas, dua orang pelajar memegang sekeping papan panjang sementara dua lagi yang berada di tengah memotong bawang dengan sepantas mungkin. Kecekapan salah seorang pelajar menggunakan pisau mendapat tepukan gemuruh.
“Kenapa mata kita berair ketika memotong bawang? Tahukah nama fenomena ini?”
Demikianlah soalan-soalan yang diajukan oleh Hu Yongxiang, guru fizik di Sekolah Menengah Ketiga Daerah Hongsibu di wilayah Ningxia, selepas demonstrasi yang sangat menarik perhatian. Dengan mengajukan soalan-soalan ini, Hu memperkenalkan konsep gerakan terma yang menjadi fokus pelajaran hari itu.
Kelas-kelas anjuran Hu terkenal kerana gaya pengajarannya yang mengubah konsep fizik abstrak kepada eksperimen dan permainan menarik. Ini membantu memupuk minat dalam kalangan murid-muridnya untuk belajar ilmu fizik.
“Kelasnya seronok dan rancak. Eksperimen-eksperimen ini kami ingat dengan jelas – jadi kami bukan saja menghafal tetapi juga belajar untuk mengaplikasi,” kata Wang Tao, salah seorang pelajar.
Hu yang berusia 45 tahun, mula berkhidmat sebagai guru sekolah rendah di daerah Hongsibu selepas tamat universiti pada 2005, dan telah mengajar di beberapa sekolah rendah luar bandar. Pada 2012, melalui peperiksaan pemilihan, beliau dipindahkan ke sekolah menengah yang baru dibuka.
Dari sekolah rendah ke sekolah menengah, Hu teruja untuk meninggalkan impak pada murid-murid, tetapi ternyata realiti tidak semudah itu apabila didapati pelajar tertidur di meja sedangkan beliau merasakan kelasnya berjalan dengan baik.
“Saya kecewa kerana naib pengetua ketika itu berkata kepada saya, jika pelajar tertidur, salahnya bukan pada pelajar tetapi pada guru,” kenangnya kembali.
Selepas itu, Hu menilai semula caranya dan cuba menjadikan kelasnya lebih menarik. Beliau bahkan membawa eksperimen dari halaman buku teks ke bilik darjah.
“Saya percaya bahawa minat ialah guru yang terbaik. Hanya apabila pelajar gemar akan guru dan kelas barulah dapat mereka mengikuti pelajaran dengan baik,” jelas Hu.
Sepanjang kerjayanya selama hampir 20 tahun, Hu tidak pernah berasa kehabisan tenaga. Sekarang, selaku guru fizik dan naib pengetua sekolah, tanggungjawab yang dipikulnya lebih berat.
“Berbanding dengan apa yang saya ajar kepada pelajar, kepuasan yang saya peroleh daripada mengajar mereka jauh lebih hebat,” ujarnya.
Foto yang diambil pada 4 September 2024 ini menunjukkan peralatan eksperimen yang diubah suai oleh Hu Yongxiang menggunakan bahan-bahan terbuang di bandar Wuzhong, Wilayah Autonomi Hui Ningxia, barat daya China. (Xinhua/Ai Fumei)
- CIFTIS Sediakan Platform bagi Kerjasama Pendidikan antara Negara ASEAN dengan China
- Guru, Penyuluh Hidup Kanak-kanak di Gunung
- Selamat Kembali ke Sekolah, Para Pelajar!
- CAECW 2024 Buka Tirai, Tawar Lebih 70 Aktiviti
- China Azam Mahu Lahirkan Guru Berkualiti Tinggi, Perkuat Sektor Pendidikan
- Malaysia Komited Promosi Pendidikan Secara Lebih Efisien pada CAECW Tahun Depan
- Kerjasama Pendidikan China-ASEAN Semakin Erat Berkat Program "Lambaian Seribu Sekolah"
- China, UNESCO Lanjutkan Program Biasiswa 'Tembok Besar'
- Martabatkan Kuliah Etika & Patriotisme dalam Kurikulum Sekolah - Xi
- Program STEM China Antara Terbaik di Dunia